HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Januari 2017

Larangan beg plastik tiada kaitan dengan Najib - menteri

MALAYSIAKINI
 


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar beranggapan tindakan melarang penggunaan beg plastik di Selangor adalah undang-undang yang menyusahkan rakyat.

Mengulas keputusan kerajaan negeri Selangor yang mengharamkan penggunaan semua beg plastik bermula awal Januari lalu, katanya, tindakan itu tidak ada kaitan dengan kementeriannya mahupun kerajaan pusat.

"Ini undang-undang kong kali kong. Jangan buat undang-undang yang menyusahkan rakyat.

"Saya nak jelaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang tidak menggunakan plastik tidak ada kaitan dengan KPKT," kata Noh kepada pemberita selepas melawat Pangsapuri Sri Nipah, di Shah Alam, hari ini.

Beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri Selangor yang mewajibkan pengguna membayar 20 sen bagi setiap beg plastik jika berkeras mahukannya.

Sambil mempersoalkan pihak yang akan mengutip bayaran 20 sen itu, katanya kerajaan pusat terkena tempias akibat kemarahan orang ramai di Selangor.

"Saya dapat panggilan yang menyatakan apakah Najib sudah tak ada duit ke sampai kena bayar 20 sen untuk beg plastik.

"Saya nak beritahu rakyat jangan keliru dengan kuasa kerajaan negeri dan persekutuan dan jangan marah kerajaan persekutuan, jangan marah Najib sebab ini kerja kerajaan negeri," katanya.

Sebaliknya, pemimpin Umno itu mencadangkan supaya beg plastik tidak lagi dijual.

"Saya hairan, kalau nak bebas plastik janganlah jual plastik,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong mengumumkan bekas makanan polisterina dan beg plastik tidak akan dibekalkan peniaga secara percuma mulai 1 Januari.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Pengguna dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu akan disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar

Tiada ulasan: