HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Januari 2017

Najib harus mulakan amalan tidak ambil hak orang

MALAYSIA DATELINE
 
 
Lim Kit SiangLim Kit SiangPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik jika mahukan pegawai-pegawai kerajaan bersikap telus dan amanah serta tidak menyalahgunakan dana awam.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib mesti menerangkan hal sebenar kepada rakyat berhubung wang ‘derma’ berjumlah RM2.6 bilion dan RM42 juta dari syarikat SRC International yang masuk ke akaun peribadinya.

“Jika tidak, ucapan Najib mengenai pegawai kerajaan tidak boleh mengambil hak rakyat hanyalah satu tindakan hipokrit,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib ketika bercakap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam berkata, siri pendakwaan terhadap penjawat awam menjadi peringatan kepada pihak dalam kerajaan supaya tidak mengambil hak rakyat.

Beliau berkata kes-kes sebegitu, yang ditangani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), boleh mengurangkan keyakinan awam kepada kerajaan.

“Apa yang SPRM lakukan beberapa hari ini mengingatkan kita berkaitan pembaziran, berkaitan ambil hak rakyat.

“Jangan ambil hak rakyat. Ia milik mereka. Ingat bila kita laksanakan program-program kita, ia untuk rakyat.

“Jadi apabila ada pembaziran, orang ramai akan kecewa dan hilang keyakinan pada kamu,” kata Najib.

Mengulas lanjut, Kit Siat yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah secara sinis menyatakan beliau akan ‘terkejut’ jika 99 peratus pegawai Jabatan Perdana Menteri yang mendengar ucapan Najib pagi tadi tidak terfikir tentang status Malaysia sebagai kleptokrasi global, skandal 1MDB dan gelaran ‘MO1’.

Ia berikutan ketiga-tiga isu berkenaan mendapat liputan luas seluruh dunia sehingga Najib pernah dikatakan sebagai antara Menteri Kewangan terburuk Asia.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin NGO seperti Cynthia Gabriel dari C4 dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah turut meminta Najib selaku ketua kerajaan menjadi contoh pentadbiran yang telus dan amanah kepada pegawai-pegawai lain.

Tiada ulasan: