HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Januari 2017

Nazri: MCA tak boleh halang himpunan Akta 355

 

MCA tidak boleh menghalang cadangan PAS untuk menganjurkan himpunan mega bagi memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya umat Islam mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali Akta 355.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata adalah menjadi hak demokrasi setiap rakyat di negara ini untuk berhimpun.

"Dia (MCA) tak boleh tidak bersetuju kerana ia adalah hak asasi setiap individu.

"Kita ada undang-undang yang membenarkan mana-mana pihak menganjurkan perjumpaan secara
beramai-ramai kerana saya percaya semua orang berhak berbuat demikian berdasarkan syarat yang telah ditetapkan," kata Nazri.

Nazri berkata demikian selepas hadir pada acara persembahan gendang 24 perayaan bagi mencipta rekod Malaysia Book of Records di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsun Jin, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan akan menganjurkan himpunan mega untuk memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya umat Islam mengenai Akta 355.

Beliau yang juga timbalan presiden PAS berkata himpunan di Dataran Merdeka itu akan turut disertai ratusan NGO yang menyokong pindaan rang undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat bantahan MCA hari ini.

Presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, himpunan yang dijadualkan pada 18 Februari itu bersifat 'pecah-belah' dan menjejaskan perpaduan di kalangan pelbagai kumpulan etnik di negara ini.

MCA pun boleh berhimpun

Mengulas lanjut Nazri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata MCA juga boleh mengadakan himpunan balas bagi membantah apa yang dilakukan PAS.

"Jika MCA tidak bersetuju mereka juga boleh mengadakan himpunan bagi membantah himpunan tersebut dan saya tak fikir ada pihak yang boleh halangnya asalkan ia mematuhi syarat akta perhimpunan terbabit," kata Nazri.

Tambah anggota Parlimen Padang Rengas itu beliau juga pasti Umno tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana anggota partinya yang menyertai himpunan terbabit.

"Ini hak asasi manusia dan kita tak akan halang siapa-siapa untuk sertai dan saya tak fikir Umno akan keluarkan arahan kerana ini kehendak masing-masing," kata Nazri.


Tiada ulasan: