HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Januari 2017

NOW: Beri perlindungan pada Bahri

MALAYSIAKINI



Kerajaan digesa mengambil beberapa tindakan - termasuk memberi perlindungan - kepada bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zain.

Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW), Akmal Nasir, berkata Bahri wajar mendapat perlindungan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2012 bagi membolehkan beliau mendedahkan nama-nama pemberi serta penerima rasuah.

Langkah itu, katanya, boleh diambil dengan mengiktiraf Bahri sebagai pemberi maklumat kerajaan.

Namun kata Akmal untuk membolehkan maklumat berkaitan didedahkan Datuk Seri Najib Razak perlu memastikan dokumen yang terlibat tidak lagi diletakkan di bawah kekangan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Invididu yang dinamakan Datuk Bahri sebagai pemberi atau penerima rasuah wajar dipanggil dan diberi ruang untuk membela diri secara terbuka.

"Ini boleh dilakukan dengan merujuk mereka kepada jawatankuasa khas parlimen atau membentuk suruhanjaya khas bagi menyiasat maklumat yang didedahkan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Semalam Bahri yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah Bahagian Operasi Khas mengesahkan beliau meletak jawatan kerana kecewa dengan cara dan hasil siasatan dijalankan SPRM.

Bahri yang sebelum ini mengetuai siasatan terhadap syarikat berkaitan 1MDB - SRC International - berkata beliau tidak rela berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah".

Beliau yang menyatakan "pantang" dengan kerenah orang yang melakukan "pukul curi" juga mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mencabarnya.

“Jangan cabar saya. Saya tahu semua pemberi rasuah dan pengambil rasuah.

“Ya, pengamal rasuah dan jangan cuba nak jadi juara kepada rakyat di luar sana,” katanya.

Bagaimanapun Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata SRC tidak didakwa kerana peguam negara berpendapat tiada kes untuk dirujuk ke mahkamah.

Menurut Akmal kini Najib memiliki peluang terbaik untuk memulihkan integriti pendtabirannya dalam usaha melawan rasuah dan mencari kebenaran.

Justeru katanya kenyataan dibuat Bahri wajar diterima kerajaan dengan hati terbuka.

"Sekiranya pentadbiran beliau gagal mengambil tindakan yang sewajarnya susulan pengakuan Bahri, rakyat akan terus hilang kepercayaan terhadap usaha pentadbiran beliau melawan rasuah dan penyelewengan," katanya.


Tiada ulasan: