HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Januari 2017

PAS umum anjur Himpunan 355, jemput semua parti hadir

BNBBC

 
 

SHAH ALAM – PAS akan menjemput semua parti politik bagi menyertai Himpunan 355 (H355) yang akan diadakan pada 18 Februari depan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jemputan itu termasuk kepada DAP, PAN serta parti-parti komponen BN bagi memberi penerangan berhubung cadangan pindaan Rang Undang-undang 355 (RUU355).

“Sebahagian daripada penerangan telah pun dibuat oleh Presiden dalam sidang Parlimen, dan kita harapkan himpunan ini sebagai satu himpunan bagi menjelaskan kekeliruan tersebut.

“Himpunan ini kita libatkan semua pihak yang cinta Akta 355 tanpa mengira parti politik, latar belakang agama dan kaum, ia merentasi. Bagi kita ini himpunan bagi penyataan rakyat Malaysia terhadap mendokong peraturan yang mengikut akta dan undang-undang yang ada,” katanya dalam sidang media khas berhubung Akta 355 di Shah Alam, pada Sabtu.

Tambah Tuan Ibrahim, usaha tersebut adalah bagi menarik seluruh rakyat khususnya umat Islam memartabatkan kepentingan Mahkamah Syariah di negara ini.

Katanya, ia penting bagi membolehkan undang-undang berlandaskan syariat Islam dilaksanakan sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

“Ini adalah salah satu usaha kita bersama-sama untuk memartabatkan syariat Islam di negara ini. Akta 355 wajar dipinda dan ia mesti disokong dan didukung oleh seluruh rakyat negara ini,” tambahnya.

Dalam sidang media yang sama, Ketua Penerangan PAS yang juga merangkap Pengarah H355, Nasrudin Hassan turut memaklumkan pihak penganjur sedang dalam proses menghantar jemputan kepada parti-parti politik berkenaan.

Ujarnya, pihak berkenaan dijangka akan mendapat jemputan dalam masa seminggu daripada sekarang.

RUU355 dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang tahun lepas, ia bagaimanapun tidak dibahas dalam sidang sesi terakhir November lepas dan ditangguhkan ke sidang seterusnya yang dijadualkan pada Mac ini.

Tiada ulasan: