HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Januari 2017

Pelajar tidak didakwa jika anjur kempen sayang Najib, sindir Pemuda Amanah

ARIF ATAN
 
 
Kumpulan yang menamakan mereka sebagai Jentera Suara Mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah UMS turut bersolidariti menyatakan sokongan moral terhadap Ahmad Arifin di menara jam kampus itu 4 Januari lalu.Kumpulan yang menamakan mereka sebagai Jentera Suara Mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah UMS turut bersolidariti menyatakan sokongan moral terhadap Ahmad Arifin di menara jam kampus itu 4 Januari lalu.

Motif politik di belakang kedua-dua pertuduhan terhadap aktivis pelajar, Ahmad Arifin Shakimin berhubung penyertaannya dalam siri jelajah kempen Tangkap Malaysian Official 1 (#TangkapMO1) dan himpunan Bersih 5, tahun lalu tidak mampu ditutup walaupun merujuk kepada undang-undang yang diluluskan Parlimen (Akta 174).

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata demikian ketika mengulas tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak terhadap penuntut Diploma Seni Bina itu.

Universiti tersebut melalui 'surat cinta' bertarikh 3 Januari dan ditandatangani Setiausaha Lembaga Tatatertib, Salwani Murni Mohd Sohaimi menyenaraikan dua pertuduhan ke atas Arifin.

Pertuduhan pertama menyebut, Arifin 'telah menyertai perhimpunan (Siri Jelajah Himpunan #TangkapMO1) yang tidak dibenarkan oleh Ketua Eksekutif' diikuti pertuduhan kedua menyebut, penuntut beralamat di Ampang, Selangor itu 'telah menyertai perhimpunan (Bersih 5) tanpa kebenaran Naib Canselor UiTM'.
"Saudara Arifin tidak akan didakwa sedemikian rupa jika menganjurkan 'Kempen Sayang Najib Razak Muah Muah' walau mungkin Naib Canselor UiTM tidak tahu menahu pun berkenaan aktiviti berkenaan," sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, himpunan #TangkapMO1 mahupun Bersih 5 berlangsung dan berakhir secara aman bahkan lebih penting lagi pihak penganjur kedua-dua himpunan tersebut telah memberikan kerjasama yang amat baik kepada pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) bagi memenuhi aturan bawah Akta Perhimpunan Aman.

"Intimidasi politik yang berterusan kepada mahasiswa dan anak muda ini bakal menjadi malapetaka kepada negara. Rasa takut yang mahu disuntik kepada pemerintah akan membunuh sikap dan pemikiran kritikal, langsung menatijahkan kesan besar terhadap kepimpinan masa depan.

"Jelmaan 'Malaysian Official One dengan versi lebih menakutkan' bakal terbina untuk 20 tahun akan datang jika kecenderungan bobrok ini tidak diubah," tegasnya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru rakyat berbilang kaum untuk bersama-sama dengan Ahmad Arifin dan menjiwai semangat dan idealisme anak muda berkenaan.

"Beliau akan didakwa pada 17 Januari ini di UiTM Seri Iskandar. Beliau mungkin dihukum atas 'kesalahan' yang sebenarnya bukan kesalahan, namun solidariti yang kukuh akan menguatkan beliau untuk terus maju dan berjuang," tambahnya lagi.

Untuk rekod, himpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos lalu turut mengheret empat penuntut Universiti Malaya (UM) diketuai Anis Syafiqah Md Yusof kepada tindakan tatatertib. 

Anis dan dua mahasiswa lain iaitu Mohd Luqman Hakim Fazli dan Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali telah digantung pengajian selama satu semester kerana terlibat dalam perhimpunan #TangkapMO1 manakala seorang lagi pelajar, Suhail Wan Azhar, didenda RM400 dalam hukuman yang dijatuhkan panel tatatertib universiti itu pada 15 Disember lalu.

Walau bagaimanapun, mereka terbabit membuat keputusan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Disember lalu dengan memohon perintah bahawa tindakan disiplin yang dikenakan itu adalah tidak sah.

Terdahulu, seorang mahasiswa jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asheeq Ali Sethi Alivi dikenakan hukuman oleh pihak universiti pada 15 November tahun lalu juga kerana menyertai himpunan #Tangkap MO1.

Akibatnya, Presiden Student Unity Front itu digantung pengajian satu semester dan denda sebanyak RM200.

Tiada ulasan: