HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Januari 2017

Pengguna perlu bijak tangani kenaikan harga barang - PPIM

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ekoran kenaikan harga beberapa barangan makanan keperluan seperti ikan dan sayur-sayuran akibat musim tengkujuh, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan pengguna supaya bertindak bijak menanganinya.
 
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna sepatutnya tidak terlalu mengikut karenah peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barangan.
 
Malah katanya, pengguna perlu memainkan peranan dengan mencari alternatif lain dalam meneruskan kelangsungan hidup dan tidak bergantung kepada satu pilihan saja. 
 
"Setakat ada 2,000 penguatkuasa tu tak boleh. Kena (ada) pemerkasaan pengguna juga, pengguna kena bijak. Kalau barang naik tak payah belilah. Nak beli juga buat apa? Beli benda lain, bila kita ikut saja (kenaikan peniaga) maka harga akan berterusan naik.
 
"Pengguna kena cari alternatif, kena bijak, agresif. Macam di Jepun, barang naik 3 sen mereka tak beli dah. Jadi ikan kalau tak beli tiga hari ikan pun akan jadi lunyai, harga pun tak boleh nak naik," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Katanya, rakyat yang bijak akan mencari jalan untuk memajukan diri dan tidak menyerahkan nasib mereka di tangan orang lain.
 
Kenaikan harga beberapa barang dipercayai berpunca daripada musim tengkujuh yang melanda negara terutama beberapa negeri di pantai timur yang menyebabkan kekurangan bekalan barang keperluan di pasaran.
 
Harga barang basah terutama ikan, sotong dan udang mengalami kenaikan harga antara RM2 dan RM4 sekilogram.
 
Harga daging naik berikutan kurang bekalan daging tempatan, menyebabkan daging terpaksa diimport dari India.
 
Harga sayur-sayuran meningkat berikutan bekalan dari Cameron Highlands berkurangan secara drastik disebabkan musim hujan lebat.
 
Nazim turut menasihatkan peniaga supaya berhenti daripada mengambil kesempatan menaikkan harga barang ekoran pengguna terdesak.
 
"Jadi sudah-sudahlah ambil kesempatan, kalau ikut harga barang tu sepatutnya naik sedikit saja tapi dia (peniaga) naikkan banyak, kalau harga barang tu patut naiklah. Jadi peniaga ambil kesempatan ini untuk mengaut keuntungan," tegasnya. 


Tiada ulasan: