HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Januari 2017

PKR ramal PRU14 awal tahun 2017

Berita Daily 


Gambar hiasan Rahman Roslan/Getty Images
Gambar hiasan Rahman Roslan/Getty Images

Berbekalkan semangat kemenangan BN dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan masalah dalaman pembangkang, sumber dalaman PKR meramalkan Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan pada awal tahun 2017.

Menurut sumber dalaman, pengarah pilihanraya PKR di setiap negeri telah diarahkan untuk bersiap-sedia bagi menghadapi PRU 14 pada suku pertama 2017.

“Kami sudahpun mendapat arahan daripada pusat pimpinan parti supaya bersiap-sedia. Malah, pengarah-pengarah pilihanraya negeri juga diberi arahan yang sama,” kata seorang sumber dalaman parti yang enggan mengenalkan dirinya.

Mengulas lanjut, sumber tersebut berkata PKR begitu yakin bahawa Perdana Menteri Najib Razak akan mengadakan PRU 14 selewat-lewatnya sebelum April tahun depan.

“PKR turut mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihanraya di peringkat negeri dan cabang untuk menghadapi PRU 14 ini,” katanya lagi.

“Ini bukan sekadar ramalan. Tetapi, kami (PKR) sangat yakin PRU 14 akan diadakan pada tahun depan,” kata sumber yang berpangkalan di ibu pejabat PKR.

“Semangat kemenangan BN dan perpecahan di antara parti-parti komponen Pakatan Harapan merupakan dua faktor utama, PKR percaya PRU akan diadakan lebih awal. Selain itu, sikap pimpinan tertinggi PAS yang menyokong Najib juga mendorong perdana menteri untuk bersedia bersemuka pembangkang dengan lebih awal.”

Untuk rekod, Najib mempunyai tempoh penggal parlimen sehingga Mei 2018 bagi membubarkan parlimen untuk PRU yang akan datang.

“Saya juga mempunyai sahabat dari BN yang menyatakan bahawa Najib telahpun mengarahkan parti-parti komponen BN seawal Januari untuk bersiap menghadapi PRU,” tambahnya.

“Tindakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengumumkan bahawa kerjasama politik antara PAS dan parti Ikatan kini dikenali sebagai Gagasan Sejahtera ialah satu petunjuk PAS tidak minat dengan pelawaan menyertai PH mahupun berjabat tangan dengan parti baru (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad.

“Sekiranya PAS bercadang untuk bertanding sebagai blok ketiga, maka ia sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN dengan undi Melayu akan berpecah,” jelasnya lagi.

Walaupun, dipalit dengan isu skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion, dijangka Najib akan mengadakan PRU 14 lebih awal untuk terus kekal berkuasa.

Pada PRU ke-13 BN memenangi 133 kerusi parlimen berbanding Pakatan Rakyat hanya menang di 89 kerusi walaupun PR memenangi undian popular buat pertama kali

Tiada ulasan: