HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Januari 2017

Program khas haji tidak dibiayai dengan wang curi

Bernama

 
Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardhu Haji Tahun / Program Khas Haji YAB Perdana Menteri Yayasan 1MDB 2015/1436H di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, 31 Julai 2015. - Gambar Flickr/Najib Razak
Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardhu Haji Tahun / Program Khas Haji YAB Perdana Menteri Yayasan 1MDB 2015/1436H di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, 31 Julai 2015. – Gambar fail Flickr/Najib Razak


KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad berkata Program Khas Haji tajaan Yayasan 1MDB dibiayai dengan menggunakan wang yang diperoleh daripada operasi perniagaan secara sah.

Dalam kenyataan pada Selasa, 1MDB menafikan program itu ditaja dengan wang ‘curi’ seperti didakwa bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Sambil menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan satu lagi pembohongan oleh Dr. Mahathir, 1MDB berkata dana berkenaan dijana melalui operasi perniagaan sah, dahulunya dalam pengeluaran tenaga, dan terbaru melalui projek pembangunan hartanah.

“Dana yang dijana melalui operasi perniagaan ini disumbangkan kepada Yayasan 1MDB, yang kemudian menggunakannya bagi menaja Program Khas Haji.

“Sejak penubuhannya pada 2010, Yayasan 1MDB menaja kerja amal bernilai lebih kurang RM690 juta di seluruh Malaysia dan bagi semua rakyat Malaysia, melaksanakan kira-kira 60 projek dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan belia dan khidmat masyarakat.

“Projek seperti ini memberi kesan terhadap kehidupan 2.8 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, contoh aktiviti yang dilaksanakan boleh didapati dalam laman sesawang 1MDB, daripada Geran Dana PIBG, Geran Akademik untuk pelajar SPM/STPM, hinggalah kepada Geran Akademik bagi Pusat Sri Murugan dan Pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu serta Dana Belia 1Malaysia dan Klinik Bergerak 1Malaysia.

1MDB berkata yayasan itu juga menyokong program lain seperti Program SPM Jabatan Perkhidmatan Awam, yang menyediakan penajaan kepada lebih 600 rakyat Malaysia daripada semua kaum.

Tiada ulasan: