HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Januari 2017

Pusat pemindahan dinaiki air, mangsa dipindah kali kedua

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA BERANG: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Seri Puteh, Tok Lawit terpaksa dipindahkan kali kedua ekoran pusat pemindahan itu dinaiki air sejak lewat petang semalam.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tok Lawit Suhaimi Ali berkata seramai 137 mangsa daripada 46 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Ping dan Surau Al Hidayah Kampung Tok Lawit kira-kira 300 meter dari dewan tersebut.
 
"Masa maghrib tu air mula masuk ke kawasan dewan yang kita jadikan pusat pemindahan... bimbang dengan keadaan tersebut, kita pindahkan mangsa ke tempat lebih selamat.
 
"Hujan yang turun dengan lebat juga menyebabkan keadaan bertambah buruk dan air semakin meningkat hingga menyebabkan lebih ramai penduduk dipindahkan," katanya dipetik Bernama.
 
Suhaimi berkata pihaknya juga turut memindahkan bekalan makanan dan kelengkapan mangsa banjir ke dua pusat pemindahan tersebut.
 
"Kita terpaksa membuka dua pusat pemindahan kerana surau tidak dapat menampung jumlah yang ramai...jadi kita ambil keputusan untuk tempatkan warga emas di surau.
 
"Kawasan sekolah dan surau ini juga dinaiki air tetapi mujurlah sekolah ini dua tingkat," katanya. 
 
Suhaimi berkata sehingga pukul 10 malam tadi, seramai 213 mangsa daripada 72 keluarga di kampung tersebut dipindahkan.
 
Dalam pada itu penduduk Kampung Pasir Simpul juga terpaksa dipindahkan ke sekolah tersebut setelah masjid kampung itu yang dijadikan pusat pemindahan sementara turut dinaiki air sehingga satu meter.
 
Sehingga pukul 11 malam tadi kerja-kerja memindahkan mangsa yang dibantu pasukan tentera daripada Rejimen Askar Wataniah Kem Padang Midin masih berjalan.
 
Mangsa banjir yang turut dipindahkan juga terdiri daripada warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.
 
 

Tiada ulasan: