HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Januari 2017

Ramalan kerjasama Umno-Amanah di Kelantan jauh tersasar - ADUN BN

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang ADUN Barisan Nasional (BN) Kelantan menafikan sekeras-kerasnya kemungkinan akan wujud kerjasama antara Umno dan Amanah di negeri itu bagi menumbangkan kerajaan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
ADUN Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid berkata, 'ramalan' sedemikian adalah jauh tersasar, apatah lagi BN tidak akan menjalin kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP.   
 
"Saya percaya kerjasama antara Amanah dan BN agak jauh tersasar. Kerana Amanah bekerjasama rapat dengan DAP, dan DAP musuh ketat kita, jadi saya tak fikir kita ada jalinan. Setakat ini tidak ada nampak sikit pun kerjasama antara Amanah dengan BN," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Amanah akan bekerjasama dengan Umno bagi menumbangkan kerajaan Kelantan, seperti yang berlaku pada tahun 1978.
 
Mohd Amar merujuk kepada peristiwa di mana parti serpihan PAS, Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) bekerjasama dengan Umno bagi menumbangkan kerajaan PAS pada PRU 1978. 
 
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, ada kemungkinan Umno akan menaja calon Amanah di kawasan yang dianggap boleh menang, khususnya di kawasan marginal.
 
Mengulas lanjut, Abdul Aziz juga menambah, adalah mustahil untuk Umno menaja Amanah bagi menentang parti itu sendiri.
 
"BN tak pernah menaja mana-mana parti untuk berlawan dengannya. Itu tak betul. Kalau kita bertanding di sesuatu tempat, kemudian kita taja supaya orang lawan kita.. tak betul.
 
"Kalau berlaku tiga atau empat penjuru, saya percaya ia adalah kehendak parti masing-masing, bukan kerana ditaja sesiapa," kata beliau.
 
 

Tiada ulasan: