HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Januari 2017

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar

 
Ringgit ditutup rendah hari ini berikutan kekurangan permintaan susulan data eksport China yang lemah


nazri-khan_ringgit_dollr_600121


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan permintaan dan sejajar dengan prestasi beberapa mata wang Asia lain susulan data eksport China yang lemah pada Disember.

Pada 6.00 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.4600/4640 berbanding dolar AS daripada 4.4560/4600 pada Khamis.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, bagaimanapun, ringgit dijangka pulih kerana sentimen bertambah baik daripada minggu lepas.

“Ini disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan komoditi serta data ekonomi tempatan yang positif daripada nilai jualan sektor pembuatan pada November 2016 yang naik 8.2%.

“Walaupun data eksport China yang rendah, ia juga menunjukkan import tinggi, yang mana ia adalah berita yang memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen kepada 3.8898/8949 daripada 3.9067/9113 pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1243/1282 daripada 3.1264/1303 sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.4439/4497 daripada 5.4657/4711 pada Khamis.

Unit tempatan itu susut berbanding euro kepada 4.7468/7524 daripada 4.7407/7468 sebelumnya.

Tiada ulasan: