HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Januari 2017

Ringgit terus menjunam, janji Najib sejak 2015 hanya ‘deja vu’

DETIK DAILY



KUALA LUMPUR: Nilai matawang ringgit semalam jatuh ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998 apabila mencecah RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus menafikan keadaan kritikal ekonomi negara apabila pada Disember lalu menyatakan bahawa nilai ringgit akan meningkat. 
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata kenyataan Najib itu adalah ‘deja vu’ dengan skrip yang diulang-ulang sejak 2015.

Faktanya, nilai ringgit terus menjunam walaupun beberapa mata wang serantau semakin kukuh berbanding dolar AS.

“Perdana Menteri memberitahu kita pada Januari 2015 bahawa ringgit akan melonjak naik memandangkan ‘pasaran kewangan Malaysia semakin teguh.’

“Tetapi kini, kita boleh lihat parasnya semakin rendah. 2016 merupakan tahun keempat ringgit melemah berbanding dolar AS,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP itu, alasan kerajaan ketika ringgit menjunam pada 2015 adalah kerana Malaysia merupakan negara pengeksport minyak, justeru terjejas dengan penurunan harga minyak mentah dunia dari AS$102.10 pada Januari 2014 kepada AS$36.57 pada Disember 2015.

“Kerajaan menjangkakan ringgit akan pulih apabila harga minyak dunia meningkat pada tahun lepas.
“Malangnya, nilai ringgit telah menurun secara konsisten,” katanya.

Tony berkata, beliau tidak dapat membuat ramalan spesifik berhubung prestasi ringgit dalam tempoh setahun ini, namun menjangkakan risiko akan mengatasi prospek berikutan nilai yang jatuh sebelum ini tidak berkaitan dengan harga minyak.

“Bagi kita rakyat Malaysia, mungkin sudah tiba masanya untuk menerima kejatuhan ringgit ini sebagai kebiasaan. Kita telah kehilangan kekayaan lebih daripada 40 peratus dalam nilai dolar AS,” ujarnya.

Menurut Pengerusi DAP Selangor itu, ia dapat dilihat melalui kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, termasuk harga petrol memandangkan minyak didagang di peringkat antarabangsa dalam matawang dolar.

“Satu-satunya cara untuk Malaysia berubah adalah dengan memilih rejim baru. Rejim baru ini harus membersihkan negara dari reputasi kleptokratiknya dan menghancurkan segala sisa korupsi yang ada dalam kerajaan.

“Ia memerlukan satu pasukan ekonomi baru dan pintar yang tidak akan terbeban dengan keputusan-keputusan dari pihak yang terdesak mahu mengekalkan kuasa,” tegasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: