HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Januari 2017

Shahrizat digesa keluar kenyataan tindakan Jamal pilih kaum wanita sasaran lepas geram

MALAYSIA DATELINE
 
 


PKR Cabang Ampang mendesak Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan pendirian terhadap tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menjadikan kaum wanita sasaran melepaskan geram.

Naib Ketua Angkatan Muda PKR Ampang, Muhd Harris Idaham Abd Rashid berkata, parti itu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia bertindak melepaskan geram dengan menyerang fizikal, mengeluarkan perkataan menghina dan menyerang peribadi kaum wanita.

Muhd Harris Idaham Abd RashidMuhd Harris Idaham Abd RashidAntaranya beliau menyebut wanita yang menjadi mangsa serangan Jamal seperti Peguam Datuk Ambiga Sreenavasan;Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin; sukarelawan Syarul Ema Rena Abu Samah (Ratu Naga) dan; penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taharudin.

"PKR Cabang Ampang ingin mencadangkan supaya Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil mengeluarkan satu kenyataan rasmi membangkang kelakuan Jamal.

" Sebagai Ketua Wanita, Shahrizat perlu lebih sensitif tentang hal ehwal kaum wanita, lebih-lebih lagi apabila kaum tersebut dimalukan dan dihina sebegini rupa.

"Tambahan pula, perkara ini dilakukan oleh pemimpin Umno Selangor,PKR cabang Ampang berasa amat kesal dengan tindakan Ketua Wanita yang berdiam diri dalam hal ini.

"Sepatutnya, Ketua Wanita Umno yang harus bertindak proaktif dalam perkara ini bukan memilih untuk tidak menegur semata-mata kerana pemimpin Umno Selangor yang terlibat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dakwaan Muhd Haris yang kuga Pengarah Strategik PKR Cabang Ampang berkata Jamal telah menunjukan kekerapan menyerang kaum wanita.

Kali pertama ujarnya menyerang kediaman Ambiga pada 2012 beberapa hari selepas perhimpunan Bersih 3.0 diadakan.

"Oleh kerana tindakan Jamal yang biadap pada ketika itu, rakyat telah boikot Restoran Sekinchan Ikan Bakarnya sehingga kesemua 23 cawangan terpaksa ditutup dalam masa 6 bulan."

Jamal ujarnya lagi, meneruskan aktiviti menyerang kaum wanita dengan menukar sasaran, kali ini Maria Chin dijadikan mangsa baru.

"Pada Oktober 2016, Jamal telah menuduh Bersih 5.0 punyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS dan DAESH. Selain itu, konvoi Bersih 5.0 jelejah Malaysia juga kerap menerima tetamu yang tidak diundang.

Jamal menghadirkan diri di banyak lokasi konvoi Bersih 5.0 untuk membuat provokasi dan menakutkan peserta konvoi," ujarnya.

Seterusnya, tumpuan beralih kepada Ahli Parlimen Ampang merangkap Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida.

"Pada 13 November yang lalu, Jamal mengekori jejak langkah YB di beberapa lokasi ketika PKR Cabang Ampang sedang mempromosikan Bersih 5. Jamal bersama anggota baju merah telah membuat provokasi besar-besaran dengan megeluarkan kata-kata kesat dan menghina ketika memberi ucapan. Provokasi diteruskan sehingga ke Pusat Beli Belah Ampang Point yang menyaksikan pertumpahan darah Jamal.

"Tambahan pula, Jamal telah menghina YB Zuraida dihadapan media apabila beliau menyatakan hasratnya untuk menyelak kain YB Zuraida untuk memeriksa sama ada terdapat kurap atau tidak," jelasnya.

Muhammad Hariss turut mendakwa wanita seterusnya menjadi mangsa Jama Ratu Naga yang telah menunjukan rasa simpati terhadap Jamal yang sangat terkesan dengan ketiadaan air di beberapa kawasan di Lembah Klang.

"Jamal telah mengadu di Bangunan SUK bahawa beliau tidak berpeluang untuk mandi selama 4 hari. Pada 22 Disember Syarul Ema telah mengambil inisiatif untuk menghantar air dan peralatan mandi ke rumah Jamal namun kehadiran sukarelawan ini telah dibalas dengan pukulan, balingan tepung, telur dan air longkang.

"Jamal telah mengumpulkan anggota seramai 30 orang untuk membuat perkara-perkara yang disebut diatas," dakwanya.

Manakala Jamal turut dikatakan menghina penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza.

"Penghibur No 1 Negara ini telah mengkritik kelakuan Jamal ketika beliau berkunjung ke bangunan SUK. Jamal telah mempamerkan aksi bertuala dikhayalak ramai ketika berkunjung ke SUK.

"Siti Nurhaliza telah memuatnaik gambar Jamal dan menulis caption “Jangan jadi macam Jamal ye”. Jamal meneruskan serangan terhadap wanita, menghina peribadi seseorang dengan mengatakan bahawa Siti Nurhaliza perampas suami orang, Siti Nurhaliza tidak subur dan sebab itu mengalami kesukaran untuk mendapat cahaya mata. Kenyataan Jamal itu telah menyinggung perasaan kaum wanita secara umumnya lebih-lebih lagi wanita yang menghadapi masalah susah untuk mengandung," ujarnya.

Tiada ulasan: