HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Januari 2017

Singapura sudah guna polisi ‘kek halal’ sejak 20 tahun lalu


ISMA WEB
 
 


SINGAPURA – Polisi yang hanya membenarkan kek hari jadi halal yang disahkan dibawa masuk ke dalam premisnya tidak hanya diimplementasikan di Malaysia.

Bahkan, polisi tersebut telah digunakan lebih awal lagi di Singapura sejak dua dekad yang lalu, kata Pengarah Komunikasi dan Hubungan Kerajaannya, Faz Hussen.

“Lazimnya, pelanggan tidak dibenarkan membawa makanan dari luar ke dalam restoran kami, tetapi kami membuat pengecualian untuk kek hari jadi dan kami meminta kek yang dibawa hendaklah dari restoran yang disahkan halal atau sumbernya halal.

“Peraturan ini telah dilaksanakan pada tahun 1992, apabila restoran semua McDonald di Singapura menerima pensijilan Halal daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, McDonald’s Singapura turut menyediakan kek hari jadi sebagai sebahagian daripada pakej parti hari jadi yang ditawarkan syarikat rangkaian makanan itu.

“Sebagai sebuah restoran yang disahkan halal, kita perlu mematuhi sepenuhnya peraturan MUIS untuk memastikan makanan yang kita sediakan halal dan sesuai dimakan untuk mereka yang beragama Islam,” katanya.

Ketika ini, McDonald’s Malaysia menjadi sasaran kritikan berhubung notis yang telah diletakkan di restorannya.

Semalam, McDonald’s Malaysia mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan bahawa dasar itu selaras dengan keperluan sijil halalnya.

Syarikat itu kemudiannya mengeluarkan permohonan maaf atas salah faham berhubung notis berkenaan tetapi menegaskan bahawa ia akan tetap terus dengan dasar itu kerana ia perlu memastikan produk yang digunakan di restoran-restorannya telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Tiada ulasan: