HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Januari 2017

‘Skandal’ adalah publisiti, Bersatu bukan ‘liabiliti’ pembangkang

NUR INTAN IDAYU


bn-dap-pkr-bersatu



KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menganggap pelbagai skandal yang membelengu parti itu sejak kebelakangan ini tidak akan menjejaskan imej parti itu mahupun Pakatan Harapan sebaliknya ia akan memberi impak yang positif kepada parti yang baru ditubuhkan itu. 

Menurut Setiausaha Kerja Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman, bagi mencapai objektif sebenar parti itu iaitu untuk mengguling kerajaan Barisan Nasional (BN), adalah sesuatu yang normal jika mereka dikaitkan dengan pelbagai skandal tidak kira baru ataupun isu-isu lama. 

“Sudah menjadi lumrah kerana pilihan raya akan datang yang akan tentukan pembentukan kerajaan. 

“Tak mustahil ada dalam kalangan pihak yang cuba keruhkan suasana padahal isu-isu untuk timbulkan keadaan huru hara itu bukanlah sesuatu yang baru. 

“Saya percaya untuk sampai ke destinasi kami, kami terpaksa menempuh cabaran yang besar,” katanya kepada The Malaysian Times (TMT) ketika dihubungi. 

Tegas beliau lagi, lebih banyak skandal dikaitkan dengan mereka, ia bermakna lebih ramai orang yang berminat untuk tahu tentang parti itu. 

“Bila satu organisasi dia diterima ramai jadi semua orang ingin tahu tentang parti ini. 

“Berita sikit pun orang ingin tahu jadi bila orang bercakap tentang parti ini, ia tunjukkan parti ini ada perjuangan yang dibawa. 

“Jadi, saya tak nampak benda ini sebagai satu skandal yang akan membawa kepada liabiliti sebab semuanya tentang persepsi orang,” jelas Kamarul. 

Terdahulu pada 2 Jun lalu, penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin mendakwa, seorang lelaki membuat Akuan Bersumpah (SD) berhubung skandal antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan iste­rinya. 

Terbaru, Anina Saadudin mendakwa beliau disingkirkan daripada jawatan Ketua Srikandi PPBM berikutan isu perbualan intim dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp yang menjadi viral dalam media sosial baru-baru ini.

Tidak lama selepas isu Anina ini, Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor pula mengumumkan yang beliau keluar dari parti Bersatu.–TMT

Tiada ulasan: