HALAMAN SANTAI

Sabtu, 14 Januari 2017

Tidak manis TMJ, Annuar Musa 'bergaduh', kata blogger sukan

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: 'Pertikaman lidah' antara Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa perlu dihentikan demi kelangsungan arena bola sepak negara.
 
Menurut Blogger dan pengulas sukan Rizal Hashim, jika trend itu tidak dihentikan segera ia akan memberikan kesan kepada hasrat mereka untuk bertanding jawatan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak lama lagi.
 
"Tidak manis untuk kedua-dua tokoh ini bertegang leher di media sosial kerana kedua-dua ada pengaruh besar. 
 
"Sewajarnya bagi mana individu yang berminat untuk menjadi pemimpin paling tinggi di FAM jadi kena tunjukkan bukan sahaja hebat di media sosial tetapi menjadi contoh yang boleh diikuti oleh masyarakat umum," katanya ketika kepada Antarapos.
 
Terdahulu Tunku Ismail menuduh Annuar yang juga Pengerusi MARA memaksa badan itu dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) membuat tajaan secara paksa kepada pasukan bola sepak Kelantan.
 
Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno menafikan kenyataan itu dan bertegas MARA tidak pernah menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior (TRW) tetapi diberikan penghormatan oleh agensi itu.
 
Anwar sebelum menyatakan kesediannya untuk bertanding jawatan Presiden FAM pada pemilihan kongres persatuan itu akan datang.
 
Tunku Ismail juga bersedia menimbang untuk menjadi presiden persatuan itu sekiranya mendapat permintaan daripada peminat bola sepak tanah air.
 
Mengulas lanjut mengenai 'pertikaman lidah itu', Rizal berkata insiden itu akan kembali menghangatkan Liga Super yang membuka tirainya, 20 Januari depan.
 
"Ini semua sebahagian daripada rencah dan warna warni menjelang sepak mula Liga Super. Tuduh menuduh dan saya rasa ini sebahagian daripada cara bagaimana untuk mempromosikan Liga Malaysia secara baik. 
 
"Ia kontroversi kerana kalau kita lihat perkembangan Liga Super tidak ada sebarang promosi di televisyen sekarang. Jadi drama-drama ini terpaksa dicipta oleh pelakon-pelakon utama di peringkat tempatan tetapi saya percaya dua tokoh ini yang ada hajat besar untuk memimpin bola sepak negara (FAM) tidak manis kalau asyik berdebat dan juga tuduh menuduh di media sosial," ulas Rizal lagi.
 
 

Tiada ulasan: