HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Januari 2017

Tok Nan berani uji Semenanjung...

Tok Nan berani uji Semenanjung...
Hubungan antara Adenan dan Najib tetap baik walaupun kenyataannya kadang kala tidak boleh diterima oleh kerajaan pusat.
 
BANYAK tulisan dan komen telah kita ikuti melalui televisyen, akhbar dan media sosial mengenai pemimpin ini setelah meninggalkan kita buat selama-lamanya petang kelmarin akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, Sarawak.

Ramai terkejut dan seperti tidak percaya Allahyarham yang dikasihi rakyat jelata, khususnya rakyat Sarawak, menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat menyambut hari lahirnya ke 73 pada 27 Januari ini.

Tan Sri Adenan Satem, walaupun hanya dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak selama dua tahun 11 bulan, tetapi sumbangan singkat yang dicurahkan Allahyarham cukup bermakna dan meninggalkan kesan yang sukar dilupakan oleh seluruh rakyat Bumi Kenyalang.

Sepanjang kepimpinan Allahyarham yang bermula pada 28 Februari 2014 dengan mengambil alih tugas daripada bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud, kejayaan yang cukup gemilang dicapainya ialah mengetuai BN mencapai kemenangan besar pada PRN Mei tahun lalu.

Daripada sejumlah 82 kerusi yang ditandingi, BN memenangi 72 kerusi, keputusan yang diangg
ap amat cemerlang bagi seseorang ketua negeri yang belum genap tiga tahun bergelar ketua menteri.

Corak kepimpinan Allahyarham yang cekap, bersih serta tegas amat disenangi oleh rakyat Sarawak. Begitu juga dengan keperibadiannya yang cukup mesra apabila turun padang bersama rakyat pastinya akan dikenangi sampai bila-bila.

Rakyat Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat. Tugas rasmi kerajaan tanpa kira siang atau malam yang dilakukannya sesungguhnya menguji ketahanan fizikal Allahyarham yang telah pun mencapai 70an. Namun Allahyarham tidak mengambil kisah akan pengorbanannya itu.

Tok Nan telah pergi buat selama-lamanya. Semua orang, tidak kira rakyat Sarawak atau bukan, akan lebih teruja dengan keistimewaan Allahyarham apabila mengenang kembali kata-kata yang pernah diucapkan sepanjang menjadi ketua menteri.

Ungkapannya perlahan tetapi berterus terang. Walaupun menyakiti hati pemimpin-pemimpin tertentu terutama sekali pemimpin dari Semenanjung, tetapi Allahyarham tetap tidak berganjak daripada pendirian dan prinsip yang dipegangnya.

Dalam isu pendidikan dan agama yang dikira amat sensitif, Allahyarham sendiri ada pandangan tersendiri. Kepentingan rakyat sentiasa diutamakannya.

Misalnya, Allahyarham pernah mempertikaikan dasar pendidikan negara, dengan menyifatkan penekanan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang mahir hanya satu bahasa ialah satu “kegagalan”.

“Kita melahirkan ribuan graduan setiap tahun yang tidak dapat mencari kerja kerana mereka tidak mahir berbahasa Inggeris.

"Mereka malah tidak mampu hendak buat satu ayat menggunakan 10 perkataan (dalam bahasa Inggeris).
"Malaysia harus bersikap praktikal dan menyertai masyarakat antarabangsa dalam menjadikan rakyatnya mahir bertutur bahasa Inggeris. Jika kita tidak menyertai usaha ini, kita akan jadi bodoh.”

Demikian pedasnya luahan Allahyarham apabila memperkatakan tentang kedudukan bahasa Inggeris yang semakin hari semakin lemah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seperti pendidikan dan agama, isu autonomi turut menjadi 'tegang' antara Sarawak dan Semenanjung ketika Allahyarham mengungkitnya secara terbuka di khalayak ramai.

"BN harus menunjukkan hasil perbincangan menurunkan kuasa Persekutuan kepada Sarawak, atau berdepan risiko kemenangan pembangkang dalam PRU14.

“Saya beritahu Perdana Menteri, saya tidak mahu dalam pilihan raya akan datang saya dilihat bergantung kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya mereka tidak memberikan apa yang kami minta.

"Jadi perlulah ada hasil sebelum Pilihan Raya Umum akan datang bagi menunjukkan kepada rakyat yang kita bukan main-main,” kata Allahyarham dalam satu majlis hari raya Julai tahun lalu.

Kini, segala kata-kata berani dan kelantangan Allahyarham hanya tinggal kenangan. Kesungguhan Allahyarham dalam setiap kata dan tindakannya perlu dicontohi ketua menteri baharu.

Tok Nan, nama yang akan terus tersemai di sanubari seluruh rakyat Sarawak, bukan sahaja hari ini, tetapi hingga kepada generasi demi generasi.

Terima kasih, Tok Nan. Damai lah kamu di sana...


Tiada ulasan: