HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Januari 2017

Ujian pertama pengerusi baru Felda - batalkan pembelian EHP

MALAYSIAKINI



Pengerusi Felda yang baru dilantik Tan Sri Shahrir Samad digesa membatalkan pembelian kontroversi Eagle High Plantation (EHP) Indonesia, kata pemuda PKR (AMK).

"AMK berpendapat Shahrir sebagai pengerusi Felda baru yang tidak terbeban dengan salahlaku dan silap pengurusan dulu wajar memberhentikan pembelian EHP yang jelas sudah terpesong daripada matlamat asal Felda untuk membela nasib rakyat dan peneroka.

"Batalkan pembelian tersebut segera untuk membuktikan Shahrir tidak gadaikan Felda dan bukan di bawah tunggangan mana-mana pihak berkepentingan," kata Ketua Penerangannya, Lee Chean Chung dalam satu kenyataan.

Lee juga menggesa Shahrir, yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru mempertimbangkan hutang sebanyak RM6.1 bilion yang ditanggung Felda pada 2014, dan baki tunai yang hanya berjumlah RM685 juta.

"Satu-satu jalan (bagi pembelian itu) adalah dengan melalui pinjaman yang mana sudah pasti akan memudaratkan keadaan kewangan Felda," kata Adun Semambu itu.

Pengambilalihan EHP menyebabkan kontroversi kerana meskipun mengusai 37 peratus pegangan, Felda tidak mempunyai kawalan langsung terhadap syarikat itu.

Harga sesaham juga adalah lebih dua kali ganda daripada nilai saham di pasaran terbuka, menyebabkan Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak turut mempersoalkan kewajaran pembelian berkenaan.

Felda bagaimanapun mempertahankan pembelian EHP dengan alasan untuk menembusi pasaran domestik Indonesia yang memiliki 260 juta penduduk.


Tiada ulasan: