HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Januari 2017

UMNO, GERAKAN dinasihat kritik cara Najib urus kewangan negara


Roketkini.com

GEORGE TOWN: Daripada berterusan mengkritik Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara melulu, lebih baik UMNO dan GERAKAN menegur cara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengurus negara.

Jika Pulau Pinang yang dari tahun ke tahun mencatatkan lebihan belanjawan, Kerajaan Persekutuan di bawah Najib pula mencatatkan belanjawan defisit saban tahun, malah, nilai matawang ringgit terus menjunam ke paras terburuk sejak krisis ekonomi 1998.

“Saya rasa adalah jelas bahawa UMNO dan Gerakan tidak biasa dengan urus tadbir yang baik dan kerajaan yang mencatatkan lebihan belanjawan,” ujar Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dalam kenyataan, hari ini.

“Itu sebabnya, kedua-dua pemimpin parti tersebut yang berterusan mencari salah Pulau Pinang untuk tujuan politik itu tidak pernah buat bising dengan Najib ekoran perbelanjaan besar dalam belanjawan, selain belanjawan defisit dan skandal kewangan 1MDB”.

Sebelum ini Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng mendakwa kononnya kerajaan negeri memperoleh belanjawan tambahan bukan daripada urus tadbir yang baik tetapi melalui penjualan tanah.

Adun UMNO dari Pulau Betong, Muhammad Faris Saad pula mendakwa kononnya belanjawan tambahan itu terhasil daripada anggaran awal belanjawan yang tinggi.

Bagaimanapun, menurut Steven Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, laporan Ketua Audit Negara (AG) dari tahun ke tahun membuktikan bahawa kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan itu mempunyai integriti dalam amalan kewangannya.

“Dalam laporan AG yang dibentangkan pada November 2016, AG mengakui bahawa kerajaan negeri pulau pinang telah berjaya melaksanakan 99.7 peratus projek yang dirancangkan dengan menggunakan hanya separuh (55.4 peratus) daripada kos sebenar.

“Ia adalah bukti jelas bahawa dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diamalkan Pinang Pinang melalui urus tadbir yang baik meskipun berterusan diserang oleh musuh politik UMNO-Barisan Nasional,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: