HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Februari 2017

200,000 akan sertai Himpunan RUU, kata PAS

Bernama

Himpunan itu akan bermula 2 petang sehingga 11 malam dan menampilkan 21 pemidato termasuk pemimpin bukan Islam.

KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan kira-kira 200,000 orang hadir Perhimpunan RUU 355 anjuran parti itu di Padang Merbok, di sini Sabtu ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi berkata perhimpunan bertemakan ‘Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera’ itu akan bermula 2 petang sehingga 11 malam dan menampilkan 21 pemidato termasuk pemimpin bukan Islam.

Pada sebelah malam pula akan diadakan majlis munajat/solat hajat perdana memohon RUU itu diluluskan, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada 24 Nov lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang turut dikenali Akta 355.

Tiada ulasan: