HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Februari 2017

Adakah anda mempunyai ciri ini bila berdepan bahan lucah?

 
Oleh Mohd Fadhli Othman

Dunia tanpa sempadan menjadi kayu ukur kepada sesebuah negara yang ingin mengecap kejayaan dari sudut intelektual dan pembangunan pemodenan semasa. Maklumat di hujung jari mampu menggerakkan manusia terus melayari dan menerobos dunia tanpa mengira waktu dan di mana saja kita berada.

Kuasa Internet ini tidak mengenal usia dan peringkat umur. Ini menyebabkan manusia sering bergantung dengan dunia Internet bagi memenuhi ruang fizikal dan psikologi. Maka ketagihan terhadap alam maya tidak dapat dibendung lagi.

Isu pornografi, merupakan isu yang bersangkut paut dengan alam maya. Virus ini tidak mengenal usia dan pangkat atau gelaran. Semakin hari isu ini semakin serius di kalangan rakyat Malaysia. Namun begitu, isu ini seolah-olah dipandang enteng oleh masyarakat di Malaysia.

Ramai menyangka, isu ini “personel” atau bersifat peribadi, namun jika dibiarkan maka kebobrokan akan berlaku dalam kalangan masyarakat yang kian lama tenggelam dalam arus dunia tanpa sempadan ini.

Pornografi, merupakan bahan yang mudah untuk diperoleh. Zaman kini, telefon pintar boleh dimiliki sesiapa saja. Daripada budak 3 tahun hingga orang tua berumur 60 tahun, bahan pornografi ini amat mudah dilayari tanpa sebarang tapisan.

Statistik menunjukkan pada 2001 dianggarkan 70,000 hingga 74,000 laman pornografi wujud di Internet.
Pada 2002, Websense mengeluarkan catatannya peningkatan laman sesawang pornografi sehingga 88,000 dan hampir mencecah 1.6 juta laman pornografi pada 2004.

Terbaru, family safe merekodkan sebanyak 4.2 juta laman sesawang pornografi dan mendominasi 12% jumlah laman sesawang di Internet.

Hasil carian ini sedikit sebanyak membuka mata kita menyedari kehadiran sesuatu yang tidak sihat dan mampu memberi impak yang buruk kepada diri kita, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Mentaliti penagih pornografi

Rokok dan dadah musuh utama rakyat Malaysia. dalam ucaptama Persidangan Ketagihan Nikotin Kuala Lumpur “Berhenti Merokok di Malaysia 2015”, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata sejumlah 20,000 rakyat negara ini, meninggal dunia setiap tahun akibat tabiat merokok dan bilangan tertinggi perokok dalam kalangan lelaki kumpulan umur antara 15 dan 24 tahun.

Jelas di sini, permasalahan rokok kita dapat melihat secara zahirnya. Namun tidak pula pada ketagihan pornografi. Ketagihan pornografi hanya dapat disedari oleh si pelakunya saja. Amat susah seseorang itu kita hendak kategorikannya sebagai seorang penagih pornografi.

Lalu, bagaimana mentaliti penagih pornografi ini? Tepuk dada tanya diri, adakah ciri ini ada pada diri kita tatkala kita seronok melayani pornografi tanpa ada rasa bersalah. Sekiranya ada, maka secara tidak sedar mentaliti kita sedang dipengaruhi virus pornografi.

Normal

Seseorang yang mengalami ketagihan pornografi, pada mulanya akan merasakan kurang selesa dengan aktiviti pengembaraan pornografinya. Namun lama kelamaan akan timbul keselesaan dan mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan bersama virus ini.

Hal ini membuatkan penagih akan mencari dan terus mencari bahan pornografi dan menganggap perkara ini normal. Seperti mana seseorang yang ketagihan merokok lama kelamaan menganggap aktiviti ini merupakan satu rutin yang wajib demi melepaskan kepuasan.

Sikap normal terhadap ketagihan pornografi ini akan membawa penagihnya mencari dan melayari sumber pornografi yang lebih keterlaluan demi mencapai kepuasan diri.

Toleransi

Di dalam Dewan Bahasa dan Pustaka toleransi bermaksud sikap sabar dan bertolak ansur atau berlebih kurang. Hal ini berlaku dalam diri seseorang yang ketagihan pornografi.

Individu yang terjebak dengan virus pornografi sebenarnya bertoleransi dengan bahan yang mereka gemari. Walaupun, individu ini sedia maklum mengenai keburukan pornografi, namun mereka tetap ingin berdamping dek kerana keseronokan yang sementara.

Perasaan ini berlaku kerana ada sikap kebiasaan atau normal yang akhirnya perasaan toleransi terhadap pornografi ini bercambah walaupun virus ini menghancurkan kecerdasan fizikal, intelektual, emosi dan juga rohani.

Impaknya, pada peringkat awal penglibatan individu dalam kancah pornografi, mereka menemui pornografi jenis lembut atau softcore porn seperti video atau imej pelacur. Lama kelamaan, keperluan biologi semakin meningkat dan mendesak diri penagih beralih kepada hardcore porn bagi memuaskan nafsu mereka. Teruk lagi, penagih pornografi ini akan mencari pemangsanya. Ini dinamakan acting out dalam tahap ketagihan.

Nafi

Penafian merupakan senjata utama bagi seseorang penagih pornografi untuk menyatakan diri mereka sebenarnya dalam ketagihan dan memerlukan rawatan.

“Oh, saya tak ketagih pornografi” atau “Saya tengok suka-suka, tak adalah sampai ketagih”.

Sebenarnya, penagih pornografi tidak bermaksud begitu. Apa yang mereka ingin nyatakan ialah “aku boleh kawal ketagihan ini “. Situasi ini sebenarnya merupakan bayangan atau angan-angan mereka saja.
Masyarakat Melayu kata, nak sedapkan hati saja.

Hakikatnya, penagih pornografi ini akan terus mengembara melayari dunia pornografi ini kerana mereka rasa biasa dan boleh bertoleransi dengan apa jua keadaan dan situasi.

Lemah

Mentaliti individu yang mengalami ketagihan pornografi akan menyebabkan mereka lemah dalam semua aspek kehidupan. Kelemahan ini dapat dikesan daripada pengamalan hidup mereka seharian.

Individu yang mengalami ketagihan pornografi akan menyebabkan otaknya lemah di dalam menjana buah fikiran yang baik. Setelah itu, mereka akan mengalami gangguan emosi keterlaluan dan akan membawa kepada rendah keyakinan diri.

Akhirnya, fizikal si penagih pornografi akan lesu dan tidak bermaya. Hal ini boleh dilihat dari sudut pencapaian kerjayanya atau aktivitinya.

Empat mentaliti ketagihan pornografi ini hanya boleh dirasai individu yang terjebak dengan virus pornografi. Teman rapat atau ahli keluarga tidak berupaya mengesan jika tiada hubungan rapat dengan penagih pornografi.

Pengalaman penulis sepanjang mengendalikan seminar dan bual bicara “Goodbye Pornography” adalah dengan mendekati peserta mengikut tahap atau aras pemikiran mereka. Bahasa badan, pemilihan kata dan gaya bahasa memainkan peranan penting di dalam menyampaikan tajuk ini.

Kesannya, peserta yang mengalami ketagihan pornografi ini akan mudah meluahkan segala apa yang dilalui. Maka di sini, penulis dapat mengenal pasti serba sedikit tentang mentaliti penagih virus pornografi.

Secara tidak langsung khidmat bimbingan dan kaunseling dapat diberikan mengikut kesesuaian individu yang ketagih dengan virus pornografi.

Pada masa akan datang kita akan bicarakan langkah asas yang boleh diambil individu yang ketagih pornografi dalam menangkis diri mereka dari terus terjebak.

Mohd Fadhli Othman ialah pengendali modul Goodbye Pornografi Seketariat Pusat Mothers Against Pornography.

Tiada ulasan: