HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Februari 2017

Berdoa tak pakai duit, kata mufti Kedah

 Berita Daily Staff
 
 
“Kita berdoa tidak pakai duit, doa itu antara kita dengan Allah, kalau berdoa pakai duit, kesannya orang yang tidak ada duit tidak mampu dan berpeluang untuk berdoa (di hadapan Kaabah),” kata Syeikh Muhammad Baderudin.

KUALA LUMPUR: Mufti Kedah, Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad memberi peringatan kepada pihak-pihak yang mengambil kesempatan menggunakan agama Islam sebagai peluang mengaut keuntungan agar berhenti daripada melakukan kegiatan tersebut kerana agama merupakan amanah Allah.

Beliau berkata, sekiranya golongan yang mengambil kesempatan terhadap agama ini berleluasa, ia bakal memberikan kesan negatif kepada rakyat, terutamanya umat Islam yang tidak berkemampuan.

“Agama ini amanah Allah, kita yang ada ilmu perlu sampaikan, kalau ada orang yang tidak tahu kita wajib ajarkan…orang yang ada ilmu wajib menyampaikan ilmunya, orang yang tidak ada ilmu wajib mencari ilmu.

“Ini kalau mengajar al-Quran kita letak harga sekian, ini tidak sihat, bayaran itu adalah perkara yang tidak sihat dalam agama, sama seperti berdoa di Mekah kita letak harga sekian-sekian, belum tentu Allah terima kerana kita tidak berdoa dengan ikhlas,” katanya, kepada Berita Daily.

Beliau berkata demikian mengulas terdapat pihak yang menawarkan perkhidmatan belajar mengaji al-Quran di dalam jet peribadi dengan caj yang dikenakan adalah lebih kurang AS$7,500 (RM33,400) seorang bagi sejam penerbangan.

Syarikat berkenaan turut menyediakan beberapa pakej untuk pelanggan memilih destinasi ketika mengikuti kelas mengaji itu sama ada di dalam atau luar negara, termasuk ke Timur Tengah, Arab Saudi, China mahupun Australia.

Selain itu, turut tular di laman media sosial apabila terdapat individu yang menawarkan perkhidmatan berdoa di Mekah.

Valet Doa menyediakan khidmat untuk menyampaikan doa dengan bayaran antara RM500 hingga RM2,500.

Perkhidmatan itu menetapkan kadar upah mereka mengikut lokasi yang diingini pelanggan.

Bagi mereka yang mengabil pakej RM500, doa mereka akan dibacakan di hadapan Kaabah, manakala pakej paling mahal berharga RM2,500 di mana doa akan dibaca di Multazam.

“Kita berdoa tidak pakai duit, doa itu antara kita dengan Allah, kalau berdoa pakai duit, kesannya orang yang tidak ada duit tidak mampu dan berpeluang untuk berdoa (di hadapan Kaabah),” kata Syeikh Muhammad Baderudin.

Beliau turut mengulas berkenaan terdapat segelintir pihak yang menetapkan kadar harga untuk menyampaikan ceramah agama.

“Saya tidak bersetuju, agama hak kita semua dan kalau digunakan untuk tujuan peribadi ia tidak sihat,” katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya terdapat pihak yang memberikan sumbangan terhadap ilmu yang diajarkan itu dibolehkan.

“Kalau orang beri itu lain, tetapi biarlah kita buat dengan ikhlas.”

Tiada ulasan: