HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Februari 2017

Bomoh Online jual ubat pengasih di Facebook, Instagram

 Berita Daily Staff
 
 
Penjual khidmat sihir yang diharamkan dari sudut agama ini sepatutnya dikekang dengan cara mewujudkan akta yang khusus bagi pengamal ilmu hitam.

KUALA LUMPUR: Melayu dan perbuatan sihir nampaknya tidak boleh dipisahkan daripada dulu hingga kini.

Walaupun zaman kian berubah, dan ada yang perpendirian bahawa sihir tidak lagi wujud dan relevan namun pandangan itu nyata meleset.

Khidmat bomoh kini secara mudah diiklankan ‎di laman sosial dan yang terkini di Instagram.

‎Kalau dulu jika individu tertentu berkehendakkan untuk menyantau pihak tertentu akan datang terus kepada bomoh, kini tidak perlu bersemuka lagi.

Berdasarkan perincian Berita Daily, ‘bomoh online’ ini tidak mengharuskan pelanggannya untuk bertemu dengannya untuk tujuan mendapatkan minyak pengasih.

Bomoh online ini juga bukan sahaja boleh membuatkan seseorang itu suka atau jatuh cinta, ia juga boleh digunakan untuk memisahkan atau memutuskan hubungan.

‎Pemantauan portal kami melalui sebuah akaun instagram yang dikenali sebagai ‘Minyak Pengasih Siam’, yang menjual minyak pengasih yang juga menjadi salah satu kepercayaan sesetengah masyarakat kita hari ini
.
Minyak Pengasih II

Penjual minyak ini juga menetapkan harga sekitar RM500 untuk melunaskan hajat termasuk dalam upacara ritual yang perlu diselesaikan.

Semakin mudah untuk masyarakat sekarang menggunakan khidmat ini apabila syarat upacara ritual juga boleh dibuat hanya menggunakan wakil atau gambar orang yang berniat untuk menggunakan minyak tersebut.

Bomoh online ini juga melampirkan beberapa testimoni keberkesanan di akaun Instagramnya berdasarkan kes tertentu termasuklah keberhasilan menunjukkan isteri, menarik perhatian seseorang dan sebagainya.

Bomoh itu juga turut menunjukkan kesan penggunaan kali pertama minyak pengasih yang agak menyeramkan seperti‎ mendengar suara bayi dan mimpi pelik yang dialami ‘si pemahar’ atau pemakainya.

Ahmad Dasuki

Menurut Timbalan Presiden Gabungan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Ahmad Dusuki penyihir-penyihir yang dilihat ‘tidak ditelan zaman’ ini mewajarkan untuk kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang yang menghukum golongan tersebut khususnya yang menggunakan nama suci Islam semata-mata mahu mengambil kesempatan.

Keberanian penjualan khidmat untuk menyantau ini jelas Dusuki, berpunca daripada ketiadaan sistem perundangan seperti jenayah yang lain.

“Iinilah asas mengapa kita minta kerajaan wujudkan akta terhadap penyihir-penyihir, sebab sekarang ini kita tiada undang-undang terhadap penyihir.

“Orang yang terlibat dalam aktiviti ini boleh iklankan sesuka hati dalam instagram. Puncanya mereka berani buat kerana tidak ada undang-undang macam dadah ada undang-undang, memiliki senjata api dan menjual ada undang-undang, yang perkara melibatkan rosakkan agama ini tiada undang-undang, kenapa?

“Sepatutnya dikanunkan, biar sampai ada undang-undang untuk kita menyekat perkara sedemikian. Tukang-tukang sihir ini mesti ditangkap,” katanya kepada Berita Daily.

Pengamal ilmu hitam untuk membantu melunaskan niat jahat orang lain ini, bagi Dusuki adalah pemfitnah agama kerana Islam sama sekali melarang usaha yang berlandaskan kepada kemungkaran apatah lagi kesannya memberikan kesusahan kepada pihak lain.

“Usaha jahat tidak dibenarkan dalam syarak, dalam agama dibenarkan berusaha tetapi bukan dengan cara sebegitu, kalau begitu sikit masa orang mencuri dengan istilah usaha.

“Yang berlaku ini pada saya bukan yang berlandaskan syariah Islam, tapi pemfitnah agama maknanya orang yang mengambil kesempatan untuk merosakkan agama bukan mempergunakan agama.

“Benda ini tidak disuruh dalam syariat Islam, Islam menyuruh berdoa bila berlaku apa-apa bukan dengan cara begitu, cara begitu adalah syirik dan boleh membawa kepada kekufuran akidah kita rosak, Islam melarang sesiapa pun terlibat dalam sedemikian,” tambah beliau.

Beliau juga berpendirian masyarakat yang tidak berilmu khususnya dari aspek agama sahaja yang akan terjerumus ke gejala yang jelas diharapkan oleh agama.

“Orang ramai perlu ada ilmu, bila orang tidak ada ilmu, senang terjebak dengan perkara sebegitu.

“Tidak tahu perkara itu halal atau tidak hingga ada yang menganggap perkara itu halal pedahal tidak dilaknat dalam syarak,” katanya lagi.

Sehubungan itu, masyarakat khususnya umat Islam perlu sentiasa memperbaiki ilmu agama yang boleh ditimba daripada pelbagai cara, bukan sekadar daripada pembacaan semata-mata.

“Masyarakat mesti diilmukan mereka bukan setakat dari penulisan tetapi hingga sampai ke peringkat masyarakat sendiri diajar, dididik dan diasuh supaya mereka dalam keadaan yang lebih mengikut syarak dalam hidup,” ujarnya.

Tiada ulasan: