HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Februari 2017

Data buktikan pembangkang menipu, kata Najib

Berita Daily Staff
 
 
Segala usaha dan perancangan kerajaan menunjukkan keberhasilannya dengan pengumuman Bank Negara berhubung perkembangan ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Najib Razak hari ini berkata data terkini pembangunan negara membuktikan dakyah pembangkang mengatakan Malaysia bakal muflis adalah satu pembohongan.

Memetik kenyataan di laman blog www.najibrazak.com, beliau berkata segala usaha dan perancangan kerajaan menunjukkan keberhasilannya.

“Sekali lagi, data membuktikan bahawa ekonomi Malaysia bukan seperti yang diuar-uarkan pembangkang, seolah-olah negara kita ini bakal di ambang muflis dan krisis,” katanya dalam kenyataan itu.

Hari ini, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan bahawa ekonomi negara berkembang 4.5% pada suku keempat 2016, disokong oleh peningkatan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta, membawa kepada pertumbuhan keseluruhan sepanjang tahun sebanyak 4.2%.

Pada masa sama, setakat 31 Januari 2017, rizab negara berjumlah USD 95 bilion atau RM426 bilion.
“Alhamdulillah, perencanaan kita mengurus tadbir ekonomi negara berdepan cabaran global tahun lalu telah berhasil, dan kita akan meneruskan lagi kerja-kerja bagi memastikan ekonomi negara kekal sihat dan pertumbuhan bertambah dari masa ke masa,” kata Najib lagi.

Terdahulu, semalam RAM Rating Services Bhd mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 4.5 peratus tahun ini, yang merupakan ‘pemulihan kecil’.

Dalam terbitan ‘Economy Outlook 2017’ bagi November, ia berkata momentum petumbuhan diunjur meningkat selepas kedudukan lemah yang direkodkan dalam tempoh beberapa tahun lepas, yang berpunca daripada permintaan domestik yang semakin stabil.

Penggunaan swasta dijangkakan mengukuh kepada 5.5 peratus hasil daripada pembangunan infrastruktur semasa.

Tiada ulasan: