HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Februari 2017

Gelaran ulama Hadi 'tidak kena', dakwa bekas ahli PPBM

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyifatkan gelaran ulama yang dipegang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak 'kena' dengan keperibadiannya, ekoran bersikap 'dingin' pimpinan DAP dan Amanah sehingga langsung enggan bekerjasama.  
 
Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, sikap dingin Hadi turut menyebabkan PPBM menerima tempias apabila PAS juga dikatakan enggan menjalin permuafakatan politik oleh kerana parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu bekerjasama dengan dua seterunya.
 
"Hadi semakin merepek. Dahulu dengan DAP tidur sebantal, sekatil dengan PAS berbelas tahun. 
 
"Amanah juga terdiri dan didokong dari orang Melayu dan Islam. Mengapa beliau hendak bermusuh? Jika beliau ulama, bolehkah berbuat demikian? Adakah wajar ambil tindakan sedemikian rupa, berdendam? Ini bukan ajaran Islam. Ini bercanggah dengan hukum Islam," katanya kepada Antarapos.
 
Reaksi itu diberikan Khairuddin selepas Hadi pada kelmarin menegaskan PAS tidak akan bekerjasama dengan PPBM kerana ia menjalin permuafakatan dengan DAP dan Amanah.
 
Hadi dilpaorkan berkata partinya bersedia menamatkan sebarang rundingan mengenai kerjasama dengan PPBM tanpa menunggu tempoh sebulan yang ditetapkan oleh Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM.
 
Khairuddin turut menyatakan rasa hairan sambil mempersoalkan mengapa Hadi tidak mencontohi keperibadian Nabi Muhamamd SAW yang boleh bekerjasama dengan bukan Islam dalam usaha membawa keamanan dan perpaduan ummah.
 
Menurut Khairuddin lagi, Hadi juga wajar mencontohi  bagaimana Dr Mahathir dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama berjiwa besar untuk bekerjasama meskipun kedua-duanya pernah menjadi musuh.
 
"Hadi perlu ikut contoh Dr Mahathir dan Anwar. Mereka pernah mempunyai perbezaan pendapat lebih kurang 18 tahun, tetapi kerana agenda hendak menyelamatkan bangsa dan agama serta tanah air, mereka sanggup ketepikan kesmeua perbezaan pendapat sesama mereka dan akhirnya bergabung tenaga.
 
"Kalau Rasulullah memeterai perjanjian dengan orang bukan Islam demi mencapai keamanan dan kesejahteraan kepada ummah, mengapa Hadi tidak boleh ikut sunnah Rasulullah? 
 
"Kata ulama, kata parti beragama Islam, tapi mereka bermusuh, berkompromi dengan pelbagai salah laku dan kemungkaran yang sedang dilakukan oleh PM yang korup dan memimpin kerajaan kleptokrasi di negara kita," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: