HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Februari 2017

Gobind: Bentang hala tuju jika mahu tewaskan BN

 
Ahli Parlimen Puchong berkata rangka kerja dasar bersama suatu kemestian dan lebih penting dari bercakap mengenai mendahulukan pakatan dan logo bersama



Gobind-Singh-Deo1


PETALING JAYA: bercakap mengenai ancaman kleptokrasi dan keperluan menangani gejala itu tidak memadai untuk mencabar Barisan Nasional, pesan wakil rakyat DAP mengingatkan pembangkang.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata perkara lebih penting untuk dilakukan sekarang ini ialah membentangkan hala tuju yang jelas untuk negara.

“Kita mesti jelas dalam apa yang kita mahu dan hala tuju yang akan kita diambil sekiranya kita berjaya menewaskan Barisan Nasional. Kita mesti nyatakan kedudukan kita secara jelas sekarang ini menuju pilihan raya.

“Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu tingkatkan usaha untuk membentangkan rangka kerja dasar bersama yang akan menjadi asas kepada pakatan untuk pilihan raya dan seterusnya,” kata setiausaha biro undang-undang DAP kebangsaan dalam kenyataan hari ini.

Gobind menambah itu lebih penting dari bercakap mengenai mendahulukan pakatan atau logo bersama, seolah merujuk kepada kenyataan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Bercakap di majlis kutipan dana anjuran PKR Lembah Pantai di ibu negara pada Selasa, bekas perdana menteri berkata parti pembangkang perlu mendahulukan pakatan sekiranya mahu berjaya pada pilihan raya nanti.

“Pakatan pembangkang perlu belajar untuk membantu satu sama lain. Mereka bukan sahaja perlu fikirkan parti masing-masing tetapi juga pakatan ini.

“Pakatan yang perlu menang. Jangan fikir parti sahaja,” kata Mahathir.

Bagaimanapun, Gobind berpendapat keutamaan semestinya memastikan semua parti komited kepada suatu persetujuan dan membina hubungan kerja yang kukuh.

“Rakyat perlu diyakinkan kerjasama ini bukan untuk mencapai matlamat jangka pendek sekali beri tetapi ini kerjasama yang berkekalan dan kita boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Tanpa perjanjian ini, logo besama dan pakatan tidak bermakna dan tidak menarik kerana rakyat tidak akan meyakini daya maju jangka masa panjang pakatan ini.”

Tiada ulasan: