HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Februari 2017

Kali ini Jamal usung keranda pula ke bangunan SUK


ANTARAPOS.COM
 
Post Pic


SHAH ALAM: Selepas protes tuala dan rumah urut, Datuk Seri Jamal Yunos hari ini tampil dengan gimik mengusung keranda dan perarakan van jenazah di luar bangunan pentadbiran Selangor dalam bantahan terbarunya terhadap kerajaan negeri itu.

Kali ini, Jamal yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar mendakwa berlaku penyalahgunaan dana untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Wang Khairat Kematian Negeri Selangor berjumlah RM200 juta.

“Saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali tentang peruntukan sebanyak RM200 juta. Di manakah jumlah peruntukan ini? Adakah ia dari sumber halal?

“Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, terdapat beberapa keraguan dalam penggunaan peruntukan SMUE ini yang dilakukan beberapa wakil rakyat atau penyelaras DUN Selangor dan Wilayah Persekutuan. Mereka menggunakan peruntukan ini untuk tujuan lain, bukan membantu rakyat Selangor, tetapi untuk kerja kahwin mereka,” dakwanya.

Jamal tiba di pintu masuk utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu kira-kira 11 pagi tadi dengan mengusung keranda dan cuba memasuki perkarangan bangunan itu bersama 16 van jenazah, tetapi dihalang pengawal keselamatan.

Ketua Gerakan Baju Merah itu berikrar akan mengheret kerajaan negeri ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika Azmin gagal memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.

SMUE ialah skim khairat kematian yang diberi percuma kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang layak. Apabila ahli meninggal dunia, penama berdaftar boleh menuntut dari Pusat Khidmat DUN dan sumbangan khairat kematian atau manfaat sebanyak RM2,500 akan disalurkan.

Ia ialah inisiatif kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada Ogos 2008 dan mula dilaksanakan sejak 1 Oktober 2008.

Terdahulu, kekecohan berlaku ketika Jamal berucap di luar bangunan SUK. Sekumpulan lelaki tiba-tiba muncul dan memberi amaran kepada Jamal supaya tidak mengganggu kerajaan Selangor kerana rakyat sudah “muak” dengan tindakannya.

Keadaan berjaya dikawal selepas polis hadir untuk menghentikan protes itu dan mengarahkan Jamal pulang.
Pada 21 Disember lalu, Jamal berjalan ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan bekalan air di Lembah Klang.

Pada 25 Januari lalu pula, Jamal membawa deretan katil bujang dan bantal yang disusun cantik ke Bangunan SUK Selangor sebagai bantahan simbolik lambakan rumah urut di negeri itu.


Tiada ulasan: