HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Februari 2017

Judi haram: Jangan tuduh kami tutup mata, kata TPM

Zulaikha Zulkifli




Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan ada segelintir pegawai penguat kuasa yang mungkin 'dibeli' oleh sindiket perjudian haram.

Sehubungan itu, Zahid yang juga menteri dalam negeri meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu mengemukakan bukti kukuh.

"Tak dinafikan mungkin ada segelintir dua yang terdiri daripada pegawai penguatkuasa yang mungkin dibeli oleh sindiket (judi) berkenaan.

"Kita tidak akan berkompromi dan jika ada bukti yang kukuh, sila serahkan pada saya tentang penglibatan pegawai yang berkenaan yang mendapat bayaran.

"Kita akan ambil tindakan perundangan dan disiplin yang mengikut ketertiban perundangan yang ada untuk kita laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis minum petang amal Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) di ibu negara hari ini.

Selain itu, Zahid turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak menuduh pihak berkuasa menutup sebelah mata dalam pembanterasan pusat judi haram.

Katanya, pihak berkuasa telah melakukan pelbagai cara bagi menyekat kumpulan perjudian itu namun jelasnya, mereka terlalu licik.

"Jangan pernah menuduh adanya pegawai atau pihak berkuasa menutup sebelah mata atau tutup dua-dua mata untuk biar aktiviti (judi) itu dijalankan.

"Sebenarnya sindiket judi ini terlalu licik," katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai cadangan Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi berbincang usaha membanteras pusat perjudian, Zahid berkata beliau terbuka dengan cadangan tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya pelaksanaan untuk membanteras pusat judi tidak mudah.

"Mereka boleh berbincang tetapi untuk penguatkuasaan harus ada kuasa tertentu dan kita tentunya tidak mudah untuk meminta NGO atau individu menjalankan penguatkuasaan bersama.

"Tetapi kita alu-alukan usaha sedemikian," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan PEMBELA menyuarakan kebimbangan mereka terhadap amalan rasuah dan penglibatan 'tangan ghaib' yang didakwa melindungi kegiatan perjudian.

Malah, NGO berkenaan turut melahirkan hasrat untuk mengadakan perbincangan bersama KDN bagi membanteras pusat judi yang ada di negara ini.


Tiada ulasan: