HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Februari 2017

Kajian dapati rakyat M’sia bersedia guna pakai pembayaran menerusi telefon bimbit

 Bernama

Visa dalam satu kenyataan hari ini berkata kaji selidik itu dijalankan oleh Toluna ke atas 500 rakyat Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan menilai sikap pembayaran mereka berhubung penggunaan tunai, pembayaran tanpa sentuh, membeli belah dalam talian dan lain-lain

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bersedia untuk mengguna pakai pembayaran menerusi telefon bimbit dengan tujuh daripada 10 orang menyatakan kesediaan untuk menggunakan dompet mudah alih seperti Samsung Pay, demikian menurut Kaji Selidik Sikap Pembayaran Pengguna Visa 2016.

Visa dalam satu kenyataan hari ini berkata kaji selidik itu dijalankan oleh Toluna ke atas 500 rakyat Malaysia untuk mendapatkan pandangan dan menilai sikap pembayaran mereka berhubung penggunaan tunai, pembayaran tanpa sentuh, membeli belah dalam talian dan lain-lain.

Sementara itu Kaji Selidik Sikap Mudah Alih Visa yang dijalankan oleh YouGov ke atas 750 rakyat Malaysia untuk menilai sikap mereka berhubung pembayaran menerusi telefon bimbit pada September 2016, juga menunjukkan rakyat Malaysia yakin kaedah pembayaran seumpama itu akan kelaknya menggantikan penggunaan tunai dan kad.

“Malaysia memiliki kadar penembusan telefon pintar yang agak tinggi, dengan 71 peratus penduduk dewasa sekurang-kurangnya mempunyai sebuah telefon pintar.

“Kategori paling utama yang rakyat Malaysia mahu menggunakan pembayaran menerusi telefon bimbit untuk membuat pembelian termasuklah tiket wayang, barangan runcit dan makanan dan minuman,” kata Visa.

Kaji selidik Visa itu juga menunjukkan 83 peratus rakyat Malaysia menyedari tentang pembayaran tanpa sentuh dan 34 peratus telah menggunakannya.

Sebanyak 68 peratus menyatakan mereka akan memilih menggunakan pembayaran tanpa sentuh berbanding tunai, naik 34 peratus berbanding 2015.

Pengurus Negara Visa bagi Malaysia KB Ng berkata, rakyat Malaysia jelas cenderung mengguna pakai pembayaran menerusi telefon bimbit dan pembayaran tanpa sentuh kerana mereka menyedari akan manfaat yang ditawarkan oleh kaedah-kaedah ini.

“Kami melihat pertumbuhan dua angka bulan ke bulan dalam pembayaran tanpa sentuh dan yakin pengenalan pembayaran menggunakan telefon bimbit seperti Samsung Pay dan MaybankPay akan terus merangsang pertumbuhan ini,” katanya.-Bernama


Tiada ulasan: