HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 Februari 2017

Kenapa saya masih pakai Proton Saga jika PAS dapat dana RM90 juta? - Mursyidul Am PAS

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Jika benar PAS mendapat suntikan dana RM90 juta, kenapa saya masih pakai Proton Saga?, soal Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
 
“Saya ni Mursyidul Am dan (Datuk Abdul) Hadi Awang Presiden PAS. Saya pakai kereta (Proton) Saga je. Kalau ada RM90 juta, tak kan saya pakai kereta Saga je. Itu terjawablah rasanya.
 
“Rumah saya pun dalam nilai RM50,000 hingga RM60,000 sahaja. kalau kami (PAS) ada RM100 juta, apa nak jadi, kolam renang tiga saya akan buat,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Ahad.
 
Hashim berkata demikian selepas ditanya bersabit dakwaan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.
 
Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.
 
Sehingga kini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan pimpinan tertinggi parti menolak dakwaan itu.
 
Hashim juga mengulas perkembangan rundingan PAS dengan parti-parti pembangkang ke arah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
“Dasar pokok kita iaitu kita putus hubungan dengan DAP dan Amanah dan kita juga tidak akan kerjasama dengan mana-mana parti yang bekerjasama dengan parti-parti tersebut.
 
“Sekarang ini belum nampak lagi parti-parti itu bekerjasama dengan berterusan dengan dua parti yang kita tolak tadi sebelum PRU banyak lagi perkembangan yang akan berlaku,” katanya.
 
Hashim juga enggan mengulas mengenai tawaran tempoh sebulan yang diberikan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana di luar bidang tugasnya.
 
“Saya dalam anggota Syura, tanggungjawab kami bukan menentukan dengan siapa kita nak bekerjasama.
 
“Tanggungjawab kami hanya jika ada cadangan dari jawatankuasa pusat untuk nak melakukan atau mengadakan satu dasar, mereka akan serahkan kepada kepada Syura dan Syura akan pastikan sama ada ia bertepatan dengan Syariah atau tidak.
 
"Kalau tidak kita akan bagi balik supaya tidak dilaksanakan. Kalau tidak bercanggah , OK jalan je,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: