HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Februari 2017

Kerjasama dengan PPBM akan jejas kewibawaan Pas

Muhammad Azizul Osman
Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Sekiranya Pas mengambil pendirian untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), maka langkah itu dilihat akan menjejaskan kewibawaan Pas selaku parti bertunjangkan Islam di negara ini.

Menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Dr Kamarul Zaman Yusoff, kerjasama itu akan membuatkan hubungan dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dalam Gagasan Sejahtera akan berkecamuk dan memberikan kesan yang buruk kepada parti berkenaan.

“Ketetapan rasmi Pas sebelum ini adalah ia akan menyertai PRU14 sebagai Blok Ketiga yang dikenali dengan nama Gagasan Sejahtera, jadi jika parti itu menjalinkan kerjasama lain di luar Gagasan Sejahtera, ia boleh menjejaskan kewibawaan Pas.

“Mursyidul Am, Ustaz Hashim Jasin, dan Presiden sering menyebut bahawa Pas sentiasa membuka pintu kerjasama kepada mana-mana parti politik melalui platform Gasasan Sejahtera dengan syarat mereka menerima kepemimpinan Islam dan mengakui perjuangan Islam,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Esok parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memuktamadkan keputusan sama ada menjalinkan hubungan dan menyambut salam kerjasama dengan PPBM sebagaimana beberapa rundingan yang berlangsung sebelum ini.

Sebelum ini Presiden Ikatan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir berkata, parti itu sedia untuk memutuskan hubungan dengan Pas sekiranya Abdul Hadi menerima kerjasama yang dihulurkan oleh PPBM bagi menghadapi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.

Dalam pada itu, Kamarul berkata, sekiranya Abdul Hadi selaku Presiden Pas menerima kerjasama berkenaan, maka ia bertentangan dengan prinsip beliau sebelum ini yang enggan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersekongkol dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

“Saya akan merasa terkejut jika Pas menerima cadangan kerjasama dari PPBM kerana Abdul Hadi dan Datuk Takiyuddin Hasan, selain beberapa pemimpin Pas lain telah menyatakan secara terbuka bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang bersekongkol dengan DAP dan Amanah,” katanya lagi.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memberi tempoh sebulan kepada pemimpin Pas untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) atau tidak.

Malah Abdul Hadi turut menyatakan pendirian bahawa partinya tidak akan menjalinkan hubungan dengan PPBM atas alasan ia mempunyai kerjasama politik dengan DAP dan PAN.

Kedua-dua parti sebelum ini dilaporkan sibuk mengadakan rundingan pada 1 Februari lalu bagi menjayakan kerjasama politik bagi mendepani PRU14 kelak.

Malah telah menyiapkan draf kerjasama di antara kedua-dua parti kearah kerjasama yang lebih realistik. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: