HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Februari 2017

Kit Siang perlu sokong penubuhan pasukan siasat BNM

ANTARAPOS.COM

Post Pic


KUALA LUMPUR: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang perlu menyokong usaha kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebagai Ahli Parlimen yang berpengalaman, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah tidak harus mempolitikkan penubuhan pasukan petugas khas itu.

"Kit Siang seharusnya menjadi orang pertama menyokong penubuhan pasukan petugas khas yang dipersetujui oleh Kabinet kelmarin.

"Ini kerana beliau begitu lantang di Dewan Rakyat mengemukakan pelbagai usul termasuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

"Ini adalah peluang terbaik untuk Kit Siang membuktikan bahawa usul yang dibawa pada tahun 1993 dan 1994 berkaitan isu ini di Dewan Rakyat itu berasas.

"Beliau seharusnya tampil untuk membantu 'Task Force' (pasukan petugas khas) ini dalam meneliti semua fakta yang berkaitan atau adakah beliau telah mengelirukan Dewan pada masa itu?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Kit Siang perlu konsisten dengan pendiriannya dalam isu itu kerana kecenderungannya untuk berubah prinsip serta pendirian akan dinilai penyokong DAP.

"Keputusan Kabinet menubuhkan Task Force itu membuktikan yang kerajaan sentiasa terbuka dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan tetap berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dalam menyiasat segala perkara untuk memastikan tiada sebarang penyalahgunaan dan penyelewengan dalam tadbir urus negara.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga sentiasa bersandarkan kepada prinsip keadilan seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Oleh yang demikian, pasukan petugas khas ini akan meneliti dan menilai perkara ini berdasarkan keterangan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan," katanya

Tiada ulasan: