HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Februari 2017

Maut kejar peragut

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
BACHOK: Tindakan berani seorang wanita mengejar peragut yang meragut begnya berakhir dengan tragedi apabila maut terlanggar tiang elektrik dalam kejadian di Kampung Pak Elong, Tangok, di sini, pagi tadi. 
 
Dalam kejadian jam 8.15 pagi, mangsa, Siti Rohani Wahab, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. 
 
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa yang berkerja sebagai pembantu tukang masak dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Telong, Kandis ke tempat kerja di kafe Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok. 
 
Katanya, seorang suspek yang menunggang motosikal secara tiba-tiba menghampiri dan terus menyambar beg duit Siti Rohani yang diletakkan di dalam raga motosikal Yamaha Lagenda yang dipandunya. 
 
"Mangsa kemudian bertindak mengejar suspek sejauh kira-kira 800 meter.
 
"Dalam keadaan kelajuan tinggi itu, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal motosikalnya sebelum terlanggar tiang elektrik," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, tadi. 
 
Sehubungan itu, Din berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri untuk melawan penjenayah yang mungkin mengundang bahaya. 
 
Katanya, polis akan menjalankan siasatan segera dan berharap dapat menangkap suspek dalam tempoh 24 jam. 
 
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
 
 

Tiada ulasan: