HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Februari 2017

Mufti WP arah batal khidmat upah ‘doa makbul’ ke Mekah

 
Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata individu terbabit didapati menjalankan pengiklanan secara berlebih-lebihan dan wujud keraguan dalam perniagaan itu, antaranya jaminan 100% doa makbul.


Zulkifli-Mohamad_doa_600


PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan menyarankan supaya perkhidmatan “doa makbul” yang ditawarkan syarikat Valet Doa menerusi laman sosial yang menjadi viral baru-baru ini, dibatalkan.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata perniagaan seperti itu tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat kerana tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan sahabat nabi pernah berbuat demikian.

Menerusi kenyataan di laman web rasmi Pejabat Mufti WP hari ini, Zulkifli berkata penamaan pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP sangat tidak berakhlak dan mengelirukan, apatah lagi, ia jelas
menunjukkan sifat komersialnya dan manipulasi doa.

“Penggunaan kalimah mustajab atau jaminan makbul yang difahami itu akan mengelirukan, lebih-lebih lagi jaminan dan had masa tertentu untuk mendapatkannya. Ini menyalahi nas yang sahih lagi jelas,” katanya.

Zulkifli berkata menerusi penelitian pihaknya terhadap Facebook Valet_Doa mendapati wujud beberapa masalah dalam bentuk perniagaan itu dan antaranya ialah etika pengiklanan dalam Islam.

Katanya, individu yang terbabit dalam syarikat itu didapati menjalankan pengiklanan secara berlebih-lebihan dan wujud beberapa keraguan dalam perniagaan itu dan antaranya memberi jaminan 100% doa makbul.

“Dalam iklan itu, ia memberikan jaminan 100% pemakbulan doa sedangkan ia bukan sesuatu yang pasti dan doa makbul adalah hak mutlak Allah.

“Berhubung ‘servis doa’, barang yang diniagakan dan diupah untuk kemakbulan doa sedangkan makbul atau tidaknya doa itu hak Allah secara mutlak serta ia bersifat tidak jelas,” katanya.

Mufti berkata pengiklanan perniagaan seperti itu tetap tidak boleh dilakukan walaupun ada jaminan wang dikembalikan.

Katanya, ia juga tidak boleh dikiaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah.

“Mengkomersialkan doa dibimbangkan termasuk dalam firman Allah yang maksudnya: ‘Jangan kamu menjual ayat-Ku dengan harga benda yang murah’ (Surah al-Baqarah: 41),” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, Facebook Valet_Doa menjadi viral dengan ramai pengguna media sosial mengutuk tindakan pihak berkenaan yang menawarkan perkhidmatan “membawa doa ke Mekah”.

Antara iklannya ialah: “Servis Utk Doakan Hajat2 Anda Terus Di Masjidil Haram, Mekah… Khas Utk Anda Yg Ada Hajat Urgent, Tp X Boleh Ke Mekah Dlm Masa Terdekat.”

Pakej ditawarkan berharga antara RM250 hingga RM2,500 mengikut jenis perkhidmatan selain memberi jaminan wang dikembalikan jika doa pelanggan masih belum termakbul.

Di Facebook itu turut dinyatakan pihak Valet_Doa akan ke Mekah pada 16 Mac 2017, bergantung pada visa dan pelanggan boleh membuat tempahan bermula sekarang.

Tiada ulasan: