HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 Februari 2017

PAS perlu undur diri daripada kerajaan negeri Selangor, kata Mahfuz Omar

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS perlu menarik diri daripada kerajaan negeri Selangor, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
 
Beliau berkata demikian susulan pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa partinya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.
 
PKR yang mengetuai pentadbiran di Selangor mempunyai hubungan politik dengan DAP dan Amanah selain PAS, ujar Mahfuz.
 
“Sudah terang lagi bersuluh, PKR seperti mana parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP dan Amanah, malah telah menanda tangani 'perjanjian kerjasama politik' untuk meranapkan kuasa politik Umno/BN pada PRU ke-14 nanti.
 
“Oleh itu secara prinsipnya hubungan kerjasama PAS dan PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Presiden PAS,” katanya. dalam satu kenyataan hari ini.
 
Mahfuz berkata, PAS tidak perlu menunggu hingga muktamar parti itu pada April nanti untuk menentukan kedudukannya dalam hubungan kerjasama dengan PKR.
 
Ahad lalu, Hadi menutup rapat pintu bekerjasama dengan PPBM walaupun rundingan berterusan diadakan oleh pemimpin kanan kedua-dua pihak.
 
Presiden PAS itu menegaskan bahawa mereka tidak akan mempunyai sebarang kaitan dengan pihak yang bekerjasama dengan DAP dan parti serpihannya, Amanah.
 
Mahfuz berkata implikasi lebih besar juga bermakna bahawa PAS perlu melepaskan semua jawatan jawatan lantikan politik dengan segera secara berprinsip.
 
Ini termasuk jawatan exco, ahli majlis kerajaan tempatan, jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung (JKKK), ketua kampung, syarikat berkaitan kerajaan (GLC.
 
“Adalah lebih baik untuk PAS mengelakkan dari apa-apa persepsi atau tanggapan serong yang menampakkan PAS masih sayang pada kebendaan dan ketamakan kuasa yang diperolehi hasil dari kedudukkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
 
“Sudah sampai masanya (Pesuruhjaya PAS Selangor) Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga naib presiden PAS dan rakan-rakan exco kerajaan negeri dari PAS melepaskan jawatan exco dan apa-apa jawatan lantikan politik yang berkaitan,” katanya.
 
Mahfuz juga melahirkan rasa sayu dengan sedihnya dengan pendirian Hadi itu ketika rakyat mengharapkan satu pakatan gabungan kekuatan parti pembangkang untuk meranapkan dan menamatkan kuasa politik Umno/BN.
 
 

Tiada ulasan: