HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Februari 2017

Produk elektrik, elektronik tiada kelulusan Sirim bahaya

S. M. MOHAMED IDRIS


 

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut bagaimana produk elektrik tidak dikawal boleh terus diperolehi di pasaran. Masalah ini sudah lama didedahkan oleh CAP.

Terdapat banyak produk elektrik/elektronik yang membimbangkan tanpa label Suruhanjaya Tenaga-SIRIM yang dijual dengan berleluasa di pasaran.

Amat mengejutkan, Senarai Peralatan Elektrik Terkawal Suruhanjaya Tenaga (EC) tidak termasuk banyak produk lain yang biasa digunakan.

Barangan seperti pengubah arus elektrik (dari arus ulang alik ke arus langsung), unit bekalan kuasa dalam komputer, dan bateri yang boleh dicaj semula perlu dikawal kerana ia melibatkan arus ulang alik 240 volt dan diketahui berpotensi meletup dan bahaya kebakaran dalam kes bateri yang boleh dicaj semula.

Malah kebanyakan barangan biasa lain seperti kabel elektrik tidak mempunyai logo kelulusan EC atau SIRIM dan Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM) memberi amaran bahawa banyak kabel elektrik dibuat daripada “bahan berkualiti rendah” telah membanjiri pasaran.

Kabel elektrik bermutu rendah yang digunakan di rumah mudah terdedah kepada pemanasan berlebihan dan kebakaran. TEEAM menyarankan pemilik hartanah untuk mendapatkan kontraktor yang diluluskan oleh EC atau agensi kerajaan. Tetapi berapa ramai pemilik rumah yang menyedari siapakah kontraktor ini dan adakah terdapat buku panduan yang boleh diakses untuk pengguna mencari kontraktor bertauliah?

Menurut Peraturan Elektrik Malaysia 1994, Sijil Kelulusan (CoA) diperlukan untuk pengimportan, peruncitan, pengiklanan atau pengeluaran alat elektrik atau peralatan. Malah dengan CoA dari EC, produk juga perlu dihantar ke Makmal Ujian Badan Pensijilan (CBTL) untuk ujian penghantaran dan pengesahan.

Jika produk gagal ujian, ia akan dikembalikan semula ke negara asal atau dilupuskan. Hanya apabila produk diuji dan disahkan baharulah label jaminan keselamatan EC-SIRIM dilekatkan pada produk. Dengan produk yang diluluskan itu baharulah ia dibenarkan di pasarkan di negara ini.

Dengan peraturan yang amat ketat itu, amat mengejutkan bagaimana EC dan Kastam boleh membenarkan produk elektrik yang tidak diluluskan oleh EC-SIRIM membanjiri pasaran. Dengan kewujudan produk bermutu rendah ini pengguna berisiko tinggi berdepan dengan kebakaran rumah atau kejutan elektrik.

Tambahan pula, adalah menjadi persoalan kenapakah adapters/chargers memerlukan label jaminan keselamatan EC-SIRIM tetapi bateri yang boleh dicaj tidak berada dalam senarai “peralatan elektrik terkawal” 2014.

Telefon bimbit sudah berada di Malaysia kira-kira 20 tahun yang lalu; e-rokok, lebih 10 tahun; dan power bank, lima tahun. Peralatan itu beroperasi menggunakan bateri lithium-ion yang boleh dicaj semula dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICAO) mengenakan pengharaman sementara (1 April 2016 sehingga 2018) terhadap penghantaran kargo bateri seperti itu oleh kapal terbang penumpang. Alasannya disebabkan bimbang bateri itu mengalami kepanasan berlebihan dan menyebabkan kebakaran atau letupan di atas kapal terbang.

Rumah sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat tetapi ironinya 2,717 rumah terbakar pada 2014 dan 139 mangsa kebakaran terbunuh dan 389 cedera. Didapati bahawa 55 peratus kebakaran disebabkan oleh masalah elektrik (arka, percikan/litar pintas, arus berlebihan/beban berlebihan dan rintangan kepanasan).

Siasatan kebakaran menunjukkan salah satu faktor utama kebakaran dikaitkan dengan masalah pendawaian elektrik.

Contoh kes melibatkan kemalangan peralatan elektrik/elektronik di Malaysia adalah:
· Pada 8 Mei 2016, telefon bimbit anak wartawan hiburan meletup ketika sedang dicaj di rumahnya di Setiawangsa.

· Pada 19 April 2016, wanita berusia 30 tahun dari Cheras terbunuh akibat kejutan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicaj.

· Selepas beberapa hari kes di Cheras, seorang berusia 28 tahun dari Kedah mengalami kecederaan apabila telefon bimbitnya meletup ketika menjawap panggilan menggunakan telefon bimbit yang sedang dicaj.

· Pada pertengahan November 2015, seorang lelaki di Gopeng memerlukan enam jahitan pada bibirnya selepas e-rokoknya meletup ketika sedang digunakan.

· Pada 25 Oktober 2015, peralatan rokok elektronik terbakar dalam penerbangan Malindo Air dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

· Pada Ogos 2014, seorang ahli farmasi terkena kejutan elektrik ketika sedang mandi menggunakan alat mandian air panas di rumahnya di Segamat, Johor.

Memandangkan kepada kesannya berkemungkinan cedera, terbunuh melalui letupan, kebakaran atau kejutan elektrik – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menggesa agar:
· EC dan SIRIM meneliti semula dan mengembangkan senarai produk terkawal mereka seberapa banyak produk elektrik yang tidak dikawal oleh EC.

· Pada masa yang sama, EC perlu membuat serbuan di pasaran yang menjual produk elektrik bermutu rendah yang menggunakan label jaminan keselamatan EC-SIRIM palsu. HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: