HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 Februari 2017

Sasar 40 kerusi perkiraan realistik PAS

ROSLAN SMS CORNER


 
Apabila Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mensasarkan yang PAS mahu menang sekurang-kurangya 40 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang, ada pihak yang pandang rendah dan memperlekehkan kenyataan itu.

Ini termasuklah kenyataan dari sebuah parti yang usianya baru setahun jagung. Parti yang belum  teruji nasibnya itu pun belum tentu samada akan masih kekal atau terus terkubur selepas PRU nanti namun bernafsu mahu meramalkan nasib PAS pada PRU nanti.

Ada sesetengah pihak pula berpendirian kiranya PAS bersendirian tanpa bantuan mana-mana kelompok atau parti pembangkang lain, sasaran itu mustahil dicapai kerana menurut rekod pencapaian PAS hanya meningkat apabila PAS berkerjasama dan berpakat dengan parti-parti pembangkang lain.

Tambah ada pula yang menisbahkan DAP sebagai faktor penting pencapaian PAS, kiranya PAS tidak berkerjasama dengan DAP besar kemungkinan PAS akan berkubur dan tidak mustahil hilang kuasa di Kelantan.

Dalam negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan bersuara siapa sahaja bebas dan berhak memberi pandangan. Tepat atau tidak tepat itu terpulanglah kepada rakyat untuk menentukan kelak.

Sesungguhnya kemampaun PAS bertahan walaupun menghadapi krisis besar pasca Muktamar pemilihannya di Kuala Selangor 2015 dahulu adalah bukti bahawa PAS sebuah parti yang sarat dengan ahli-ahli yang berdisiplin dan teguh mendukung pucuk pimpinannya. Faktor ini tidak pula mahu diambil kira oleh para pengkritik PAS sebagai bukti betapa teguhnya PAS sebagai sebuah parti politik.

Dan kini walaupun telah terputus hubungan dengan DAP dan Pakatan Rakyat pun berkubur, dan dalam pada itu lahir pula anak jelmaan DAP iaitu Pan kononnya untuk menggantikan peranan PAS, PAS terus segar bernyawa malah berterusan mencatatkan penambahan keahlian dengan pembukaan cawangan-cawangan baru di seluruh negara.

Dengan kekuatan ini layak sangat Presiden PAS mensasarkan pencapaian yang lebih positif buat partinya, mengapa pihak lain perlu gusar dan gelabah?

Sepatutnya DAP atau anak emasnya Pan, nyatakanlah pula sasaran masing-masing. Pan umpamanya yang ahlinya seluruh negara pun terlalu kecil bilangannya berbanding PAS sudah bernafsu mengisytiharkan akan menawan Kelantan dari PAS, tiada pula mana-mana pihak komen, atau memang tidak minat komen racauan sebuah parti nyamuk sepertinya.

PAS ditendang, diterajang, dipulau, difitnah mahu bergabung dengan Umno dan berbagai lagi, yang sepatutnya dengan tindakan dan tuduhan seumpama itu PAS sudah lama berkecai dan pupus, namun realitinya PAS terus kekal hari ini dan bakal bersama beberapa ratus NGO lain menganjurkan sebuah perhimpunan umat Islam terbesar dalam sejarah negara pada 18 Febuari ini di Dataran Merdeka.

Yang sebenarnya tindakan PAS menentukan haluannya sendiri, menanam sikap bersedia berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menghormati dan menerima dasar dan prinsip perjuangan Islamnya itulah yang meletakkan PAS ditahap menjadi tumpuan semua pihak.

Tidaklah keterlaluan dikatakan berbanding parti-parti pembangkang lain, hari ini PAS lah yang paling konsisten dalam perjuangannya, dengan jentera yang lengkap dan terlatih serta memiliki cawangan dihampir seluruh pelusuk negara. Suka tidak suka PAS lah parti pembangkang yang paling kukuh hari ini.

Sasaran 40 kerusi parlimen dalam keadaan sedimikian bukanlah mustahil buat PAS, dan inilah sebenarnya yang dibimbangi para musuh dan pengkritiknya.

Dengan kemenangan 40 kerusi Parlimen itu menurut Presiden PAS lagi PAS turut mampu kekal berkuasa di Kelantan dan kembali menawan Terengganu dan Kedah selain kekal berkongsi kuasa di Selangor.

PAS yakin dengan konsistennya ia membawa dan mendaulatkan perjuangan Islam, menegur kemungkaran dan mengemukakan penyelesaian dan alternatif buat permasalahan ummah selain kekal memaparkan corak kepimpinan yang telus dan bersih, rakyat akan menerima calon-calon PAS berbanding mana-mana calon parti-parti lain.

Dalam PRU 1999 umpamanya, walaupun PAS berkerjasama dengan parti-parti lain termasuk PKR dan DAP, akan tetapi kerjasama berkenaan tidak banyak membantu prestasi PAS ketika itu. Malah parti-parti berkenaan bermaslalah meraih kemenangan berbanding PAS. Ketika itu PAS menang 27 kerusi Parlimen, DAP cuma 10 dan PKR (ketika itu dikenali PKN) 5. Diperingkat Dewan-dewan Negeri pula PAS menang 98 kerusi dan menawan Kelantan dan Terengganu, DAP cuma 11 dan PKR 4.

Di Selangor pada tahun 1999, PAS menang 4 kerusi DUN manakala DAP dan PKR masing-masing satu, dan buat pertama kali dalam sejarah wakil PAS menjadi Ketua Pembangkang DUN.

Tahun 1999 telah menyaksikan kebangkitan gelombang undi protes Melayu terhadap BN dan Umno, manakala pengundi bukan Melayu taat pada BN. Kerana itu pada tahun berkenaan Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh tertendang keluar dari Parlimen apabila gagal di kerusi masing-masing.

Tanpa banyak bantuan parti lain 18 tahun lalu, atas ledakkan kebangkitan undi protes Melayu, PAS cemerlang dengan 27 kerusi Parlimen. Dengan pelbagai petunjuk negatif terhadap BN dan Umno hari ini, tidak mustahil PAS boleh mengulangi pencapain itu malah dengan peningkatan yang lebih baik.

40 kerusi bermakna penambahan cuma 13 kerusi dan ini sesuatu yang tidak mustahil.

Rata-rata masyarakat Melayu Islam hari ini telah berputus asa dan kecewa dengan kegagalan Umno dan BN. Mereka kelihatan sudah bersedia bertukar arah. Kekalutan dan kecelaruan dipihak pembangkang tidak menyukarkan pilihan mereka kerana ternyata PAS muncul sebagai satu-satu parti yang paling jujur dan istiqamah mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan berbanding yang lain.

Jika orang Melayu akan beralih arah pada PRU akan datang mereka pasti memilih parti yang lebih baik dari BN dan Umno, parti yang bakal memperjuangkan nasib dan masa depan mereka dunia dan akhirat. Ciri berkenaan sudah pasti tiada dalam DAP apatah lagi Pan.

Lantaran itu bagi saya sasaran 40 kerusi Parlimen yang dilontarkan Presiden PAS itu adalah sesuatu yang mampu tercapai, samada PAS nanti berkerjasama dengan parti-parti lain, atau dalam ketidaksediaan mereka menghormati PAS, PAS bersendirian, rakyat khususnya pengundi Melayu Islam sudah ada pilihan dalam hati dan kepala masing-masing.

Biarlah rakyat yang menentukan dengan izin Allah swt nanti, yang pastinya PAS akan terus bergerak ke hadapan memartabatkan perjuangan Islam kerana itulah kehendak majoriti rakyat pada hari ini. roslansms@gmail.com


Tiada ulasan: