HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Februari 2017

Saya dihalau kerana sayangkan PAS

Berita Daily Staff
 
 
Bekas naib presiden PAS itu berkata, beliau khuatir keengganan PAS bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar boleh menyebabkan PAS kehilangan Kelantan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata kritikan yang dilemparkannya terhadap PAS dan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan adalah atas dasar cinta dan sayangkan parti itu.

Namun beliau melahirkan rasa kecewa kerana tindakannya mengundang reaksi negatif Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah yang menyarankan beliau meninggalkan PAS kerana sering mengkritik parti itu.

“Kenyataan saya tidak mengecam PAS atau pimpinan PAS, sebaliknya kenyataan saya itu adalah kerana saya sayangkan PAS dan sayangkan negeri Kelantan,” kata Mahfuz, dalam kenyataannya hari ini.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, beliau khuatir keengganan PAS bersama rakan-rakan pembangkang dalam satu pakatan besar boleh menyebabkan PAS kehilangan Kelantan.

“Begitu juga dengan kedudukan PAS di Selangor setelah PAS membuat keputusan untuk tidak kerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP,” kata Mahfuz.

Mahfuz berkata, kenyataannya itu harus dilihat sebagai mewakili suara ahli-ahli biasa yang tidak gembira dengan cara politik PAS sekarang.

Menurutnya, ramai ahli, penyokong dan pengundi PAS yang tidak senang dengan pendekatan politik PAS yang dilihat menjarakkan PAS dari arus perdana politik tanahair dan rakyat terbanyak yang mahu meranapkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Adakah ahli yang menegur semua kena keluar PAS kerana menegur parti sendiri secara terbuka? Apakah budaya tegur menegur sudah mati dalam PAS?” soal Mahfuz.

“Untuk Nik Amar dan lain-lain pimpinan PAS, jangan membina persepsi rakyat terhadap PAS andai memerintah negara suatu hari nanti maka PAS tidak boleh ditegur dan dikritik.”

Tiada ulasan: