HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Mac 2017

Anthony, Shahidan bertikam lidah isu BR1M

 
Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kaedah pemberian secara manual merupakan kaedah yang terbaik di dunia kerana ia menjimatkan masa dan tenaga penerima wang BR1M.
 
 
anthonyloke-syahidan-br1m

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP dan Umno bertikam lidah di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan secara manual.

Pertengkaran tercetus apabila Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke membangkitkan isu mengenai tindakan Kementerian Kewangan memberikan BR1M secara manual yang menurutnya sebagai taktik mencari sokongan politik.

“Saya minta Kementerian Kewangan membatalkan tindakan pemberian BR1M, seolah-olah usaha untuk kepentingan politik.

“Orang tua beratur…Bagaimana ini berlaku. Kita hendak tengok kesejahteraan rakyat dipertahankan bukannya politik,” katanya.

Kenyataan Anthony itu menyebabkan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri bangun mempertahankan kaedah pemberian berkenaan.

Shahidan berkata kaedah pemberian secara manual merupakan kaedah terbaik di dunia kerana ia menjimatkan masa dan tenaga penerima wang BR1M.

“Kerajaan buat keputusan pembayaran pertama melalui manual, kedua dan ketiga barulah secara automatik. Pemberian BR1M yang terbaik adalah secara manual,” katanya.

Shahidan turut sifatkan kenyataan Anthony merupakan suatu sangkaan jahat daripada seorang penjahat apabila menuduhnya mengeluarkan arahan agar pemberian BR1M diberikan secara manual.

“Itu sangkaan jahat, ia keputusan kerajaan, bukannya Arau. Kita ada 4 Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk 52,000 penduduk di Perlis. Ia sangkaan jahat daripada seorang penjahat,” katanya.

Shahidan turut memberitahu beliau sendiri akan melakukan kaedah pemberian BR1M secara manual bermula pada Sabtu hingga Isnin ini dan percaya Anthony akan terkejut dengan kaedah pemberian itu.

Pertikaman lidah antara Shahidan dan Anthony berlangsung kira-kira 10 minit dan ia berakhir apabila dileraikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Tiada ulasan: