HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Mac 2017

Asri 'takut' sanggah pendapat mufti lain, kata analisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Keengganan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mungkin ada kaitan dengan sokongan mufti-mufti lain terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).
 
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata demikian mengulas kesediaan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Rozaimi Ramle untuk berdebat dengan Khairuddin, sebagaimana dimaklumkan semalam.
 
"Jika Asri yang berdebat, susah juga untuk beliau. Sebab mufti yang lain, seperti Mufti Wilayah Persekutuan sudah nyatakan wajib sokong (RUU 355). Takkan dia mahu sanggah pendapat mufti lain. Sebab itu beliau tidak berani," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Sebelum ini Kamarul menggesa agar debat itu diadakan di antara Asri dan Khairuddin memandangkan mufti Perlis itu lantang mengkritik ucapan pemimpin PAS itu.
 
Khairuddin, yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus bersetuju dengan jemputan debat yang ingin diusahakan MAPAN tanpa meletakkan sebarang syarat.
 
Bagaimanapun usaha mendapatkan Asri untuk bersetuju dengan debat itu dilaporkan masih tidak berjaya sehingga kini.
 
Semalam, Rozaimi menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Khairuddin dan meminta agar masa, tempat dan format acara itu ditetapkan dalam tempoh lima hari, bermula semalam.
 
Mengulas hal itu, Kamarul berpendapat keenganan Asri untuk berdebat mungkin merasakan tahap dirinya 'tidak sepadan' dengan Khairuddin.
 
"Sepatutnya Asri yang menyahut cabaran itu sebab isu yang dipertikaikan sekarang adalah isu yang dibangkitkan oleh Asri. Pada 2013 dahulu pun mereka pernah berwacana sekali dalam suatu forum. 
 
"Jadi apabila Rozaimi yang sahut cabaran nampak seolah-olah Asri menganggap tahap dirinya lebih tinggi, tidak sepadan dengan Khairuddin. 
 
"Asri takut untuk berdebat dengan Khairuddin, jadi beliau hantar anak buahnya," ujar Kamarul. 
 
Isu ini menjadi hangat selepas Rozaimi menyatakan kesediaan berdebat dengan Khairuddin yang mahu bersemuka dengan pihak yang berkata pindaan Akta 355 tidak wajib.
 
Dalam rakaman 4.30 minit menerusi sebuah ceramah yang dikatakan berlangsung di Kelantan dan kini tersebar di Internet, Khairuddin dipetik sebagai berkata jika ada mufti yang berkata pindaan akta itu tidak wajib, kepalanya patut disekeh.
 
Ujar pemimpin PAS itu, pindaan tersebut wajib disokong supaya jumlah hukuman sebat bagi penzina, qazaf dan minum arak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.
 
Kamarul dalam pada itu berkata bahasa yang digunakan Khairuddin dalam ceramahnya itu tidak perlu dijadikan isu memandangkan beliau hanya mahu isi kandungannya mudah disampaikan kepada penonton.
 
"Ceramah dengan orang kampung... Sepatutnya tidak diambil perhatian sangat. Anggap ia bukan perkara serius. Ceramah dengan masyarakat di luar bandar, di Pantai Geting, (Khairuddin) hendak tunjukkan ketidaksetujuannya terhadap Asri dengan cara yang mudah difahami," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: