HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 Mac 2017

Baju Melayu Haron Din dilelong RM3,500 di majlis makan malam PAS

Berita Daily Staff

Lelongan yang bermula dengan bidaan RM400 itu akhirnya telah berjaya dibeli oleh pengarah urusan sebuah firma konsultan, Muhammad Hanif Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Baju Melayu hijau muda berserta sampin milik Allahyarham Dr Haron Din terjual dengan harga RM3,500 ketika majlis makan malam anjuran PAS di Dewan Setiawangsa, malam tadi.

Lelongan yang bermula dengan bidaan RM400 itu akhirnya telah berjaya dibeli oleh pengarah urusan sebuah firma konsultan, Muhammad Hanif Jamaluddin.

Memetik laporan Malaysiakini, Muhammad Hanif berkata, sebelum ini beliau telah menghadiri majlis makan malam anjuran PAS dan terdapat lelongan pakaian tersebut namun beliau masih berfikir untuk mendapatkannya atau tidak.

Namun, pada majlis makan malam dan dialog politik malam tadi, beliau berjaya mendapatkannya memandangkan harga tersebut masih lagi berpatutan.

“Jadi dari majlis makan geng ustaz sendiri saya sudah cuba untuk dapatkan, tetapi pada masa itu saya masih fikir, jadi hari ini, mengazamkan tekad, di bawah bajet yang saya ada, saya akan ambil.

“Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya, apa yang saya inginkan Allah makbulkan pada hari ini. mengambil keberkatan dari tuan guru.

“Bagi saya sangat berbaloi dengan harga RM3,500 jika hendak bandingkan dengan pengorbanan yang diberikan tuan guru dalam Islam sejak dia masih hidup dan hingga meninggal,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Melalui pembelian tersebut, lelaki berusia 30 tahun itu berharap mendapat keberkatan dan kehebatan Haron.
“Kita tahu dari sudut kealimannya, kezuhudannya, jadi sudah pasti ia mempunyai baraqah dari para alim ulama.

“Jika tidak dapat bersama dengan para alim ulamak, dapat ambil baraqah dari alim ulama pun sudah Okay,” katanya.

Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat pada 16 September tahun lepas akibat komplikasi jantung.

Tiada ulasan: