HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Mac 2017

Batal debat tidak wajar, cadang diteruskan di dua lokasi lebih kondusif

 MALAYSIA DATELINE

Hasnul Zulkarnain Hasnul Zulkarnain Pemuda Amanah Negeri Perak mencadangkan kepada polis membenarkan debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz diteruskan ke lokasi sama ada di  Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar atau di Arena Square Sungai Perak yang lebih kondusif bagi mengantikan Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Ketua Pemudanya Hasnul Zulkarnain melahirkan rasa kecewa dengan keputusan pihak polis yang tidak meluluskan permohonan penganjuran  debat antara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Menteri Perlancongan itu.

Beliau berkata,larangan debat yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini adalah satu keputusan yang tidak wajar.

"Pemuda Amanah Negeri Perak sangat berharap agar debat ini dapat diteruskan seperti yang dijadualkan.

"Pihak polis sebenarnya boleh mencari dan mencadangkan lokasi alternatif sekiranya MRSM Kuala Kangsar tidak kondusif untuk debat ini dilangsungkan.

"Kami mencadangkan debat ini diadaakan di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar ataupun di Arena Square Sungai Perak yang mampu menampung kapasiti yang ramai.

"Semoga program yang memberi manfaat kepada rakyat ini tidak disekat oleh mana-mana pihak demi kepentingan tertentu," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, alasan-alasan yang dikemukakan dalam kenyataan Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan lebih kepada perkara teknikal yang sebenarnya boleh diselesaikan sekiranya pihak polis benar-benar rasional dalam perkara ini.

"Sedangkan pihak penganjur telah mengikuti segala ketetapan yang dikemukakan oleh pihak polis sebelum ini," ujarnya.

Hari ini dilaporkan Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata permohonan debat antara dua pemimpin politik itu ditolak kerana penganjur lewat menghantar borang permohonan, di samping tidak membenarkan ia diadakan di kawasan sekolah, iaitu Dewan MRSM.

Polis juga menerima 8 bantahan secara bertulis daripada aduan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan yang bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga.

Dalam hal ini, Hasnul berkata tugas pihak polis adalah untuk memastikan keamanan di dalam negara ini terjaga, bukannya menghalang segala aktiviti yang sebenarnya telah dijamin oleh perlembagaan.

"Program debat sebegini tidak langsung memberi ancaman kepada keselamatan negara sebaliknya adalah program-program biasa yang telah diamalkan oleh pelbagai pihak sebelum ini.

"Tugas sebenar pihak polis adalah menjaga keselamatan semasa program dan menghalang segala bentuk provokasi daripada mana-mana pihak ketika program sedang berlangsung. Itu adalah lebih utama dan selari dengan tugas sebenar pihak polis," tegasnya.

Tiada ulasan: