HALAMAN SANTAI

Isnin, 13 Mac 2017

Bekas pemimpin Umno pertahan Dr Mahathir dikritik Najib

 Farhan Darwis

Tidak adil Najib Razak ambil kesempatan untuk kritik dalam satu hal yang faktanya tidak betul, kata Kamaruddin Jaafar
 
Kamaruddin berkata, beliau tidak selesa dengan kenyataan Najib dan menyifatkan keputusan untuk mendera Kelantan dilakukan Umno apabila parti Melayu itu tewas dalam Pilihan Raya Umum pada 1990. 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar hari ini mempertahankan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang mengatakan pentadbiran terdahulu mendera Kelantan.

Kamaruddin berkata, beliau tidak selesa dengan kenyataan Najib dan menyifatkan keputusan untuk mendera Kelantan dilakukan Umno apabila parti Melayu itu tewas dalam Pilihan Raya Umum pada 1990.

” Yang saya agak tidak selesa dia merujuk kepada pemimpin sebelum ini, saya juga bekas pemimpin Umno.

“Kalau ada apa-apa keputusan yang mengatakan pemimpin terdahulu yang dirujuk dulu membuat dasar mendera Kelantan, (dalam) pengetahuan saya ia bukan keputusan seorang pemimpin sahaja malah kalau ingatan saya ia adalah keputusan yang dibuat oleh Umno Kelantan selepas kalah pada tahun 90 yang lalu,” katanya, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tambah Kamaruddin, walauapa pun yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu, sebagai warganegara Malaysia, khususnya rakyat Kelantan sudah tentu pihaknya inginkan pembangunan diberikan sama rata diberikan kepada seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira Kelantan, Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Itulah dalam perbahsaan kita, baik pembangkang, BN, sentiasa mendesak projek pembangunan dilakukan di kawasan khusus di luar bandar.

“Jadi saya desak perdana menteri supaya melaksanakan janji kerajaan untuk membangun negara ini dengan seadil-adilnya, bukan hanya untuk Kelantan tapi seluruh negara,” katanya.

Ahli Parlimen PKR itu berkata Najib tidak perlu merujuk keputusan pemimpin-pemimpin sebelum ini kerana beliau sudah pun menjadi perdana menteri dalam tempoh yang agak panjang.

“Jadi oleh itu tumpuannya adalam pembangunan luar bandar dan projek infra struktur.

“Kenapa tak rujuk kepada Abdulah Badawi, Hussein Onn misalnya. Saya fikir soal pembangunan tak perlu dipolitikkan mana-mana parti poltik hari ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, kita harus menerima apa yang perdana menteri sebelum ini lakukan adalah sesuai dengan suasana politik mereka ketika itu.

“Tapi apa yang penting kita nak pembangunan yang akan beri kesan majoriti terutamanya dikawasan luar bandar.

“Kalau misalnya Najib nak tuduh Dr Mahathir, banyak yang boleh kita dedahkan berbanding apa yang beliau lakukan sebagai perdana menteri dan pemimpin Umno.

“Tidak adil dia (Najib) ambil kesempatan untuk kritik dalam satu hal yang faktanya tak betul,” kata Kamaruddin.

Semalam Najib berkata pihaknya bertekad untuk terus membawa pembaharuan di Kelantan dengan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan bagi manfaat rakyat.

Beliau berkata projek pembangunan bagi kebaikan rakyat dan membantu mengembangkan ekonomi Kelantan itu termasuk pembinaan Hospital Bachok dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Selain itu Najib turut menyalahkan pemimpin terdahulu yang mengurangkan peruntukan dan gagal membangunkan negeri itu.


Tiada ulasan: