HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Mac 2017

Berhenti tambahkan masalah kepada negara – Ibrahim Ali

Mohd Zaini Samsu Hadi
Ibrahim Ali. foto FAREEZ FADZIL 
 
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menggesa pihak yang cuba menukar Rukun Negara ke dalam Mukadimah Perlembagaan Persekutuan berhenti daripada terus berbuat demikian.

Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, ini kerana negara pada masa ini sudah cukup menghadapi pelbagai masalah dan tidak perlu ditambah dengan yang lain kerana hanya akan mengeruhkan lagi suasana.

“Saya minta pihak-pihak yang hendak menggerakkan usaha kononnya untuk menjadikan Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan Negara supaya menghentikan usaha mereka ini kerana kita berpendapat sudah cukup negara menghadapi masalah pada masa sekarang ini.

“Jangan lagi mengeruhkan suasana dengan satu isu ke satu isu yang tidak jelas mendatangkan kebaikan kepada negara,” katanya pada sidang media selepas majlis sidang meja bulat berhubung isu `Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan Negara’ di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak-pihak terbabit menumpukan perhatian kepada usaha dan cadangan bagaimana kerajaan harus memperkasakan Rukun Negara.

Ini kerana katanya, jika pihak terbabit mengatakan bahawa Rukun Negara itu tidak berkesan kepada masyarakat ia seharusnya diterjemah ke dalam sistem pendidikan negara dan bukan dengan menggantikannya dengan Mukadimah Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak akan berdiam diri dan akan tentang habis-habisan, sebab ini merupakan satu perkara yang tidak boleh kita sentuh lagi dan sudah cukup apa yang terkandung dalam Perlembagaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau menegaskan sidang meja bulat yang dihadiri oleh golongan profesional perundangan dan pengamal undang-undang serta ahli akademik perundangan pada hari ini telah mendapat kata sepakat iaitu menolak cadangan pihak-pihak tertentu untuk menjadikan Rukun Negara sebagai Mukadimah Perlembagaan Negara.

Ini berikutan katanya, ia akan hanya menimbulkan pentafsiran baru yang akan menjejaskan hak istimewa orang Melayu di bawah artikel 153 Perlembagaan dan juga agama Islam sebagai agama Persekutuan di bawah artikel 3 dan 11 Perlembagaan.

Bagaimanapun jelas beliau resolusi yang dicapai hari ini akan diperhalusi lagi sebelum ia diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Majlis Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet termasuk ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, ia bertujuan untuk memastikan agar usaha pihak-pihak tertentu untuk menjadikan Rukun Negara diterjemah ke dalam Perlembagaan Negara tidak berlaku.


Tiada ulasan: