HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Mac 2017

Birokrasi bantuan kebajikan punca golongan miskin masih ramai

 Berita Daily Staff

Kerajaan perlu kaji pemberian subsidi kepada harga barangan jika gagal memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan

KUALA LUMPUR: Birokrasi dalam memberikan bantuan kebajikan menjadi faktor masih ramai golongan miskin dan daif, kata Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee.

Menurutnya, golongan ini sepatutnya layak menerima bantuan kerana kesempitan hidup yang membelenggu akibat peningkatan kos sara hidup yang konsisten.

“Mereka ini sukar untuk mendapatkan bantuan kebajikan disebabkan mereka ini tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan serta terlalu banyak birokrasi untuk mendapatkan bantuan.

“Begitu juga pihak Baitulmal perlu turun padang melihat sendiri keadaan mereka yang amat memerlukan bantuan sepatutnya mendapat bantuan dengan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media.

Bukan sahaja golongan miskin, kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah juga terpaksa berbelanja melebihi yang sepatutnya hanya untuk mendapatkan keperluan harian.

Baru-baru ini, berlaku peningkatan harga gula sebanyak RM0.11 sekilogram.

Sekilogram gula kini berharga RM2.95, iaitu peningkatan 4 peratus sejak pelarasan harga terakhir pada tahun 2013.

Sebelum itu pada Febuari yang lalu harga petrol RON95 naik 0.20 sen kepada RM2.30 berbanding RM2.10 seliter.

RON97 turut naik 0.20 sen daripada RM2.40 kepada RM2.60 seliter, manakala diesel naik RM0.10 seliter kepada RM2.15 daripada RM2.05 seliter pada Januari 2017.

Kemudiannya pada 28 Febuari harga diesel meningkat lagi pada kadar RM0.05.

Justeru tambah Jofri, kerajaan perlu memberikan subsidi kepada barangan keperluan jika pengawalan harga gagal diberikan selain bantuan yang terhad.

“Kita harap kenaikkan harga barang keperluan ini dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan agar ianya tidak membeban pengguna dan seterusnya tidak menyusahkan rakyat.

“Kalau keadaan semakin gawat pihak kerajaan perlu memberi semula subsidi untuk barang keperluan ini agar ianya tidak membebankan rakyat,” tambahnya.

Tiada ulasan: