HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Mac 2017

BN bawa mesej Barisan Pro-Rakyat dalam jelajah penerangan

 Bernama

Barisan Pro-Rakyat memberi imej bahawa kita sebagai kerajaan yang memberi perhatian kepada permasalahan rakyat dan akan terus bersikap sensitif kepada apa juga keluh kesah rakyat sehingga ke akar umbi.

ALOR SETAR: Barisan Nasional akan membawa mesej ‘Barisan Pro-Rakyat vs Pakatan Pro-DAP’ dalam Siri Jelajah Penerangan Umno yang bermula di Kedah hari ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata pihaknya mahu rakyat melihat secara jelas perbezaan antara kedua-dua konsep tersebut dalam siri jelajah itu yang akan dilakukan melalui pertemuan bersemuka, pertemuan santai dan ceramah konvensional.

“Barisan Pro-Rakyat memberi imej bahawa kita sebagai kerajaan yang memberi perhatian kepada permasalahan rakyat dan akan terus bersikap sensitif kepada apa juga keluh kesah rakyat sehingga ke akar umbi.

“Sedangkan Pakatan Pro-DAP ini kita lihat apa pun mereka lakukan mereka berlegar di sebalik kekuatan yang ada pada DAP sebab mereka mahukan sokongan DAP,” katanya selepas membuat perjumpaan santai bersama anggota Umno di Bangunan Umno di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau mahu setiap jentera penerangan Umno negeri, cawangan dan bahagian membuat manifesto yang bersifat ‘setempat’ meliputi isu atau pun kehendak rakyat di akar umbi supaya konsepnya lebih bersifat prorakyat.

“Jentera penerangan peringkat negeri haruslah ‘carbon copy’ manifesto nasional dan sesuaikan mengikut kawasan. Misalnya di Kedah pendekatannya mungkin berbeza dengan Kelantan.

“Contohnya Jerlun sebagai satu kawasan Parlimen, rakyatnya mesti ada aspirasi tertentu yang mereka nak lihat dibela, jentera parti mestilah merasai dan menyelami kehendak rakyat,” kata Annuar.

Rakyat juga katanya tidak boleh dibiarkan memikirkan bahawa kerajaan tidak ambil kisah terhadap keluh kesah berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat kerana kerajaan sedang memikirkan penyelesaian kepada masalah itu.

“Siapa-siapa sahaja yang menjadi kerajaan akan diuji dengan pelbagai masalah, tapi janganlah kerana marah harga barang naik kita nak tukar kerajaan kepada kerajaan yang tidak stabil, ia seolah-olah ‘tikus membaiki labu’,” katanya.

Siri Jelajah Penerangan Umno diadakan di Kedah hari ini dan esok sebelum diteruskan ke beberapa negeri lain, antaranya Perlis, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: