HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Mac 2017

Bukan biasa bagi sultan temui SPRM, kata peguam


Seorang peguam menyifatkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memanggil seorang pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan mengenai isu tanah dan perumahan di negeri itu, sebagai 'bukan kebiasaan'.

Bagaimanapun, Syahredzan Johan berkata, sekiranya sultan berbuat demikian dengan tujuan ingin mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai kes itu, maka tidak ada apa yang salah mengenainya.

"Ia semua bergantung kepada apa yang telah dibincangkan dalam pertemuan itu.

"Jika Tuanku mahu tahu mengenai kes tersebut terus dari SPRM, saya tidak melihat apa-apa yang salah dengan berbuat demikian. Walaupun langkah itu adalah bukan kebiasaan," katanya dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

Syahredzan mengulas laporan berita bahawa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki dipanggil mengadap Sultan Johor hujung minggu lalu.

Memetik sumber, New Straits Times berkata Azam berada di Johor untuk menghadiri taklimat oleh pegawai penyiasat kes itu.

Jumaat lalu, SPRM menahan enam orang termasuk anak dan pegawai khas exco kerajaan negeri, Datuk Abd Latif Bandi berkaitan kes itu.

Syahredzan berkata sepatutnya tidak berlaku senario di mana pertemuan diadakan bagi mempengaruhi siasatan.

"Saya sama sekali tidak mengatakan ini adalah apa yang berlaku pada pertemuan di antara SPRM dan Tuanku. Saya pasti mereka yang terlibat memastikan mereka bertindak secara profesional," katanya.

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata, secara umum, sultan tidak memanggil pegawai penyiasat kes.

"Secara umumnya, saya boleh mengatakan bahawa memanggil seorang pegawai agensi siasatan adalah tidak betul, kerana ia mencipta gambaran campurtangan.

"Apa yang sebenarnya berlaku? Baginda memanggil seorang pegawai SPRM atau menerima mengadap sultan? Tetapi untuk apa? Kes itu adalah mengenai anak seorang anggota exco negeri, bukan ahli keluarga diraja.

"Saya masih tidak jelas tentang perkara ini secara keseluruhan. Baginda mungkin mengucapkan tahniah kepada SPRM," kata Aziz yang juga anggota DAP.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim juga memanggil Abd Latif selepas kes itu dilaporkan.


Tiada ulasan: