HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Daesh rancang lakukan serangan bom kenderaan di Malaysia – Khalid

MALAYSIA GAZETTE
Tan Sri Khalid Abu Bakar
 
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang dikatakan menerima arahan untuk melancarkan serangan menggunakan bom kenderaan berskala besar di Malaysia.
 Mereka antara tujuh lelaki yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antara 21 dan 26 Feb lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata turut ditahan dalam operasi yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Bukit Aman itu ialah empat warga Yaman dan seorang dari Asia Timur.

Warga Malaysia dan Indonesia anggota sel kumpulan pengganas Daesh itu, masing-masing berumur 41 dan 28 tahun, ditahan di Kepong pada 21 Feb. Mereka masing-masing bekerja sebagai juruteknik kilang dan petani.

“Hasil soal siasat mendapati mereka menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan menggunakan bom kenderaan atau ‘Vehicle Borne Improvised Explosive Device’ (VBIED) berskala besar di Malaysia sebelum menyusup keluar dari negara ini untuk menyertai Daesh di Syria,” kata Khalid.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut bila arahan itu dikeluarkan atau bila serangan itu dirancang dilakukan.

Menurut Khalid, warga Indonesia itu pernah diusir dari Turki pada Jun 2016 setelah ditangkap ketika cuba menyusup masuk ke Syria untuk menyertai Daesh.

Lelaki warga Asia Timur berusia 37 tahun itu pula ditangkap pada 23 Feb di Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Asia Timur yang menjadikan Malaysia sebagai tempat transit dan perlindungan.

Dia memasuki Malaysia pada 2011 menggunakan pas pelajar yang disyaki palsu dari sebuah institusi pengajian tinggi awam di Lembah Klang.

“Siasatan awal mengesahkan suspek mempunyai hubungan dengan seorang lagi anggota kumpulan pengganas dari Asia Timur yang terlibat dalam mengatur kemasukan anggota kumpulan itu ke Malaysia sebelum mereka berlepas ke Syria untuk menyertai Daesh,” kata Khalid.

Beliau seterusnya berkata empat warga Yaman yang ditahan pada 26 Feb lepas di Serdang dan Cyberjaya, disyaki menganggotai sebuah kumpulan pemberontak di Yaman.

“Siasatan awal mendapati mereka juga terlibat dalam aktiviti sindiket pemalsuan dokumen perjalanan,” kata Khalid.

Beliau berkata turut dirampas pelbagai pasport antarabangsa dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing bernilai RM270,000 dipercayai untuk disalurkan kepada kumpulan pemberontak berkenaan.

Khalid berkata ketujuh-tujuh mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574).

Mereka juga disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Seorang daripada mereka turut ditangkap di bawah Akta Imigresen Malaysia 1959/63.— BERNAMA

Tiada ulasan: