HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 Mac 2017

Daftar dengan SSM: Pendapatan bawah RM4,000 sebulan layak dapat BR1M


ISMA WEB
 


KUALA LUMPUR – Semua individu bujang yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 dan isi rumah dengan pendapatan RM4,000 ke bawah layak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini.

Justeru itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan dakwaan yang kini tular di laman sosial kononnya pemohon yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak layak mendapat bantuan itu.

“Sesiapa yang mendaftar BR1M, tak kira ada SMM ke tiada SSM, sepatutnya dapat bantuan ini kalau pendapatan di bawah RM4,000.

“Saya beri jaminan bahawa isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,000 dan individu bujang yang bergaji RM2,000 ke bawah akan dapat BR1M… kalau siapa tak dapat, saya nak tahu,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Johari berkata kebanyakan permohonan yang ditolak adalah disebabkan kegagalan pemohon menyertakan salinan slip bayaran gaji atau penyata bank kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya beliau telah memaklumkan kepada pihak LHDN supaya tidak menyukarkan urusan permohonan bantuan itu.

“Mereka yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 perlu dibantu. SSM memang untuk menggalakkan masyarakat berniaga, cuma pemohon BR1M perlu sertakan sekali slip bayaran gaji dan atau penyata bank.
“Kalau dua-dua itu tak ada, mereka perlu beri salinan buku akaun simpanan,” katanya.

Johari menjelaskan dokumen itu perlu disertakan bagi mengelak permohonan bantuan itu dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini saya difahamkan oleh pihak LHDN, setelah diperiksa didapati ramai penerima BR1M sebenarnya memperoleh pendapatan hasil perniagaan yang banyak, ada yang berpendapatan sehingga RM9,000 sebulan,” katanya.

LHDN turut mengedar risalah kepada pemohon supaya menyertakan bersama slip bayaran gaji, penyata bank atau salinan buku akaun simpanan ketika membuat permohonan itu.- Bernama


Tiada ulasan: